Anthropic tersenarai syarikat awam paling bernilai di dunia

WorldTechnology
20 Nov 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anthropic tersenarai syarikat awam paling bernilai di dunia

NEW YORK: Syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic muncul sebagai salah sebuah syarikat awam paling bernilai di dunia selepas sahamnya mula didagangkan di pasaran saham, sekali gus melonjakkan nilai pasarannya kepada kira-kira AS$1.76 trilion (RM7.23 trilion).

Penyenaraian sulung syarikat di sebalik pembangunan chatbot AI Claude di bursa saham Nasdaq itu menjadi ujian penting buat industri berkenaan, memandangkan sejumlah besar pelaburan sedang dicurahkan bagi memajukan teknologi tersebut.

Saham Anthropic melonjak melepasi harga tawaran awal AS$83 (RM341) sesaham, membuktikan keterujaan tinggi pelabur terhadap sektor AI.

Namun, syarikat itu dijangka terus berdepan penelitian rapi dalam beberapa bulan mendatang bagi membuktikan sama ada pelaburan besar dalam industri AI benar-benar berbaloi.

Hanya dalam tempoh beberapa jam dagangan, pergerakan saham Anthropic seolah-olah mencerminkan pelabur masih tidak pasti ke mana arah tuju sebenar teknologi AI.

Harga sahamnya melonjak serta-merta kepada AS$111.53 (RM458.73) iaitu hampir mencecah nilai pasaran AS$2 trillion (RM8.22 trillion), sebelum menyusut semula dan ditutup pada paras AS$97.17 (RM399.66).

Segelintir pelabur menyifatkan penampilan sulung Anthropic sebagai satu kejayaan apabila sahamnya mencatat kenaikan kira-kira 17 peratus sepanjang hari dagangan, namun prestasi pasaran teknologi secara keseluruhan menunjukkan trend sebaliknya.

Indeks Komposit Nasdaq yang sarat dengan saham teknologi ditutup susut hampir 2.3 peratus, menyaksikan saham gergasi teknologi lain turut merosot termasuk syarikat induk Google, Alphabet yang turun 2.9 peratus manakala Amazon kehilangan hampir 3.9 peratus.

Pembangunan infrastruktur dalam era AI kini disifatkan sebagai antara usaha paling mahal dalam sejarah teknologi, dengan lebih AS$1 trilion (RM4.11 trilion) telah dibelanjakan sepanjang tahun lalu sahaja oleh segelintir syarikat teknologi utama.

Kadar pertumbuhan pelaburan yang terlalu pantas itu turut mencetuskan kebimbangan berterusan mengenai risiko berlakunya gelembung kewangan.

“Gelembung kewangan tidak pecah pada hari urus niaga terbesar dimeterai, sebaliknya ia berlaku kemudian apabila keyakinan terhadap masa depan industri itu mula goyah,” kata pakar ekonomi dari Universiti Salford, Richard Whittle. -AGENSI

The post Anthropic tersenarai syarikat awam paling bernilai di dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved