JASIN - Dahulu nasi lemak dijual dengan harga 30 sen sebungkus namun kini makanan itu dijual pada harga 50 sen, manakala minuman pula hanya RM1 secawan.
Pemilik warung, Anuar Md Sani, 54, berkata, walaupun bergelut isu kenaikan harga, kedainya di Jalan Bukit Tembakau, Umbai di sini masih mengekalkan harga tersebut sejak dua dekad lalu.
Menurutnya, nasi lemak di kedainya dijual dengan harga murah bagi membantu pelanggan tetap yang terdiri daripada penduduk kampung, nelayan dan pekerja sekitar.
“Pernah ada pelanggan luar tidak percaya nasi lemah semurah itu. Dia beli 10 bungkus. Apabila saya beritahu harganya cuma RM5, dia terkejut dan berpatah balik.
“Orang kampung di sini memang sudah biasa, tetapi orang luar memang ramai yang terkejut,” kongsinya.
Bercerita lanjut, warung itu berusia 50 tahun merupakan peninggalan ibu bapanya sebelum dia mengambil alih perniagaan tersebut sekitar 20 tahun lalu.
“Dulu ibu bapa saya jual cuma 30 sen tapi lepas saya ambil alih, saya naikkan sedikit harga kepada 50 sen dan kadar itu kekal hingga sekarang.
“Bukan nasi lemak sahaja, semua minuman di warung ini juga saya jual pada harga RM1,” katanya.
Katanya, walaupun bahan asas seperti santan, beras dan gula semakin mahal, dia tidak terfikir untuk menaikkan harga kerana ia menjadi daya penarik pelanggan ke warungnya.
“Ramai yang datang kerana mahu membeli nasi lemak 50 sen, kemudian ada yang menambah lauk lain serta membeli minuman.
“Walaupun keuntungan tidak besar, saya berpuas hati kerana dapat membantu orang kampung menikmati makanan pada harga berpatutan,” katanya.
Tambahnya, lebih 200 bungkus nasi lemak terjual setiap hari. Dia berniaga dari jam 7 pagi hingga 3 petang setiap hari kecuali Jumaat.
Selain nasi lemak biasa, dia turut menjual nasi lemak beras basmati pada harga RM2.50 serta pelbagai lauk untuk makan tengah hari.
“Selagi masih mampu menampung kos operasi dan membayar upah tujuh pekerja, saya akan terus mengekalkan harga nasi lemak 50 sen dan minuman RM1.
“Bagi saya, berniaga bukan semata-mata untuk cepat kaya, tetapi yang penting pelanggan terus datang supaya perniagaan dapat bertahan lama,” katanya.
