
PELAKON dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki berkongsi telah menjalani pembedahan bariatrik selepas mengalami diabetes tidak terkawal.
Menerusi video HLive, pelakon dan sutradara filem Appalam dan Papadom itu mendedahkan prosedur itu dilakukan selepas mendapat saranan daripada pakar perubatan.
"Diabetes yang sangat teruk. Dahulu pelakon Ako Mustafa kena, selepas itu saya pula.
"Kadar insulin saya susah nak turun dan doktor telah saya pembedahan bariatrik.

"Saya sudah buat pembedahan berkenaan lebih kurang lima minggu dan kini turun berat 28 kilogram," kongsinya.
Dalam masa yang sama, pemilik nama Afdlin Shauki Aksan, 55, berkata impak prosedur bariatrik bukan sahaja menurunkan berat badan, malah dia tidak lagi perlu bergantung kepada insulin selain paras gula dalam darah yang kembali stabil.
"Itu sebab orang nampak saya tak sakit, saya memang turun berat badan.
"Berbanding dahulu, saya perlu menggunakan insulin namun sekarang tidak lagi. Paras gula saya sudah dalam keadaan selamat.

"Sedikit demi sedikit keadaan itu memperbaiki organ-organ yang lain dan saya sudah mula bersenam semula.
"(Penurunan berat badan) buat saya lebih mudah bergerak. Bagi saya ia adalah anugerah ALLAH SWT dan peluang kedua kembali bertenaga untuk menjaga anak dan keluarga," kongsinya.
Sekadar info, Afdlin berkahwin kali kedua dengan Datin Marcella pada Ogos 2023.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan berusia dua tahun.
Pelakon Bikers Kental 2 itu terdahulu memiliki tiga cahaya mata iaitu aktres Mia Sara, Anais dan Ileana Matin menerusi perkahwinan pertamanya dengan Maria Christina Orow Abdullah.
Untuk pengetahuan anda, bariatrik merupakan pembedahan mengecilkan saiz perut bagi membantu seseorang mengawal selera makan sekali gus menggalakkan seseorang berasa cepat kenyang.
Kira-kira 90 peratus individu yang dibenarkan menjalani prosedur bariatrik adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai (BMI) lebih 32kg/m selain berdepan dengan masalah komorbiditi seperti diabetes, darah tinggi dan komplikasi jantung.
Prosedur tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu gastrektomi lengan (Sleeve Gastrectomy), pintasan gastrik (Gastric Bypass) dan band gastrik boleh laras (Adjustable Gastric Band). Setiap jenis pembedahan tersebut mempunyai fungsi.
Sumber: Instagram Hlive
