
RANAU: Pelajar cemerlang di Ranau bakal menerima pengiktirafan khas menerusi Anugerah Pelajar Cemerlang SPM, STPM dan STAM yang akan diperkenalkan sempena sambutan Maal Hijrah tahun hadapan.
Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun berkata anugerah itu bertujuan mengiktiraf pencapaian pelajar dari daerah berkenaan yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan selain menjadi pemangkin kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan akademik.
Menurutnya pendidikan kekal sebagai antara saluran terbaik untuk mengubah kehidupan seseorang.
Beliau berkata kejayaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau yang muncul sebagai MRSM terbaik di Sabah dan Sarawak serta antara institusi terbaik di peringkat kebangsaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuktikan potensi besar yang dimiliki pelajar Sabah.
Masidi yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan belia tempatan berdasarkan kejayaan pelajar Sabah yang menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) serta tajaan lain termasuk penerima dari Ranau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat daerah di Dewan Masyarakat Ranau pada Jumaat.
Dalam ucapannya Masidi menyeru masyarakat supaya menghayati semangat hijrah dengan melakukan perubahan diri melalui sikap positif, pemikiran progresif dan usaha berterusan untuk memperbaiki diri.
“Nilai-nilai hijrah perlu diterapkan dalam kehidupan seharian menerusi usaha menuntut ilmu, memperkukuh ekonomi keluarga serta meningkatkan amalan keagamaan demi membentuk masyarakat yang lebih berilmu, harmoni, beretika dan progresif,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yassin, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam serta tetamu jemputan lain.





