Anwar arah siasatan segera kes kematian Zara Qairina, ‘tiada siapa akan dilindungi’

LocalPolitics
3 Aug 2025 • 11:08 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan segera dijalankan berhubung kematian pelajar di sebuah sekolah agama di Papar, Zara Qairina Mahathir, yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

Menurut Perdana Menteri, kematian bukan soal yang ringan justeru sesiapa pun yang terlibat tidak akan diberikan perlindungan.

“Kita harus ingat, negara ini negara hukum, bukan negara fitnah, siapa pun terlibat tidak peduli siapa, Tan Sri, Datuk Seri, Menteri kalau terlibat dalam jenayah pembunuhan tidak akan diberikan perlindungan,’’ katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Zara Qairina, pelajar tingkatan 1 SMKA Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan dijumpai tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 4 pagi, 16 Julai lepas.

Pelajar itu meninggal dunia keesokan harinya dan kes kematiannya menjadi tular di media sosial serta dikaitkan dengan kejadian buli. Berikutan itu tersebar dakwaan anak golongan kenamaan (VVIP) terlibat dalam kes berkenaan.

Pada 1 Ogos lalu, Istana Seri Kinabalu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan di media sosial yang mengaitkan keluarga Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam kes kematian Zara Qairina.

Setiausaha Perhubungan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Datuk Abdulah Hussin, berkata ia adalah tuduhan tidak berasas, tidak bertanggungjawab serta bersifat fitnah yang boleh mencemarkan reputasi keluarga Yang Dipertua Negeri Sabah.

Manakala Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud turut menafikan dakwaan yang cuba mengaitkan isterinya dengan insiden tragik membabitkan Zara Qairina.

"Untuk makluman, isteri saya, Cikgu Rosnih Nasir, adalah bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.

"Beliau hanya berkhidmat di sekolah berkenaan dari 20 Mac hingga 22 November 2024 sebelum bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan pendidikan," katanya.

Sementara itu, Anwar turut mengingatkan adalah menjadi tanggungjawab untuk menyiasat perkara berkenaan, bukan membuat tuduhan dan fitnah.

“Ada kematian baru-baru ini, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) diserang, dituduh macam-macam. Apa jadi dengan negara kita? Kematian ini bukan perkara ringan.

“Bukan tuduh sesiapa. Saya bicara terus dengan dengan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail), Menteri Dalam Negeri (supaya) buat siasatan segera mungkin, cari segala fakta dan selesaikan.

“Dia kata dah 60 orang telah diambil keterangan,’’ katanya.

Menurut Anwar, beliau juga dimaklumkan oleh Peguam Negara bahawa polis telah menyerahkan laporan lengkap berhubung siasatan kes tersebut kepada Jabatan Peguam Negara.

“Semalam setelah Majlis Musabaqah, saya panggil Peguam Negara dan dia kata Isnin dapat (laporan). Tapi saya tidak campur. Saya tanya sebab rakyat mahu tahu,’’ katanya. - 3 Ogos, 2025