'Anwar bebaskanlah Najib untuk menang pilihan raya' - Zaid

Politics
14 Jun 2023 • 4:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk Zaid Ibrahim

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menggesa kerajaan supaya membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

Menurut Zaid, pembebasan Najib itu penting kerana beliau merupakan tulang belakang kepada UMNO.

Jelasnya, sekiranya bekas Presiden UMNO itu berjaya dilepaskan, ia mampu membantu memperkuat dan memberi kemenangan terhadap pimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi gelombang pihak lawan.

“Anwar, awak mesti ubah fikiran tentang Najib, bebaskan beliau kerana pilihan raya akan datang, Kerajaan Madani mesti menang dan awak masih diperlukan untuk beberapa tahun lagi,” kata beliau dalam satu ciapan di Twitter pada Rabu.

Zaid menambah, meskipun bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan mempunyai kesalahan korupsi, namun perkara tersebut harus dilupakan dan dianggap sudah berlalu.

Ujarnya, sekiranya Anwar mengampuni Najib, beliau masih dilihat sebagai seorang yang mempunyai nilai integriti.

Najib menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah atas pertuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.