
BALIK PULAU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa beramah mesra dengan warga Balik Pulau di Pasar Malam Perkarangan Masjid Daerah Barat Daya, Kampung Permatang Tengah di sini.
Ini merupakan penampilan pertama beliau di Balik Pulau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesepuluh pada 24 Nov tahun lalu.
Anwar tiba pada 6.20 petang dan meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dan menyantuni pengunjung dan penjual di pasar malam tersebut, selain sempat membakar sate salah sebuah gerai.
Selain itu, Anwar turut bersama-sama warga Balik Pulau menjamu selera dalam majlis santai termasuk menikmati durian Balik Pulau, sebelum meninggalkan majlis kira-kira 7.05 petang.
Turut hadir Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung Datuk Abdul Halim Hussain.
Seorang penduduk Balik Pulau, Anwar Yaakob, 63, berkata beliau yang merupakan penyokong kuat dan peminat tegar pemimpin PKR itu, telah menanti selama 25 tahun untuk dapat bertemu Anwar sebagai Perdana Menteri.
Beliau yang kebetulan melalui tapak pasar malam itu, sebelum dimaklumkan rakan-rakannya bahawa Perdana Menteri ada di tapak pasar malam itu, terus berhenti bagi membolehkannya bertemu dengan Perdana Menteri.
“Jadi saya terus tidak lepaskan peluang untuk bertemu dengan beliau, yang merupakan pemimpin idola (saya),” katanya ketika ditemui di pasar malam itu semalam.
Seorang lagi pengunjung pasar malam itu Mohd Faisol Hassan, 57, berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan politik Anwar sehingga beliau menjadi Perdana Menteri.
“Saya anak kelahiran Sungai Rusa, di sini, namun saya berpindah ke Kedah kerana bertugas di sana...saya ambil cuti hari ini untuk pulang ke kampung dan bertemu dengan Perdana Menteri di Balik Pulau serta merakamkan gambar kenangan bersama beliau,” katanya. -Bernama

