Anwar Bimbang Sentimen & Retorik Perkauman Terus Diapikan Oleh Segelintir Pihak

Politics
22 Nov 2022 • 10:53 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Anwar Bimbang Sentimen & Retorik Perkauman Terus Diapikan Oleh Segelintir Pihak

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kebimbangan melihat sentimen dan retorik perkauman terus diapikan oleh segelintir pihak yang terdesak dan berkepentingan di saat penting pada waktu ini.

Beliau dalam kenyataannya berkata usaha dan ikthiar dalam menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab dan stabil tidak seharusnya berakhir dengan kekacauan.

“Kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, suku kaum Sabah dan Sarawak adalah bersaudara sebagai manusia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

Saya amat mengalu-alukan kenyataan tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani dalam menghentikan perkembangan yang mampu menggugat kemajmukan Malaysia ini,” ujar Anwar dalam kenyataan itu.

Sebelum ini media melaporkan, Acryl Sani memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak menimbulkan situasi atau sebarang provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial.

Acryl berkata tindakan tersebut dikesan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diumumkan dan orang ramai dilihat memuat naik kandungan yang menyentuh sentimen perkauman atau kegamaan dan menghina institusi diraja.

Pesalah boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan sekiranya mana-mana pihak dilihat mencuba untuk menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Sumber: Anwar Ibrahim via Facebook