KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan gerakan untuk menjatuhkan kerajaan yang kini sedang disiasat polis turut membabitkan kelompok Zionis terkemuka.
Sehubungan itu katanya, semua pihak perlu memberi kerjasama dan ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa menyiasat kerana ia bukan semata-mata mengenai kepentingan politik atau individu tertentu tetapi lebih penting keselamatan negara diutamakan.
Beliau dalam masa sama turut meminta semua pihak memberi masa kepada Polis Diraja Malaysia (PRDM) melengkapkan siasatan sebelum maklumat lanjut dikongsi kepada umum.
“Tapi yang saya nak rayu satu saja, kita ambil sikap terbuka. Kerana sebahagian saya dengar semalam, sebahagian daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat pembangkang juga faham.
“Jangan kita naif ataupun tidak mengikuti bahawa bila main soal kepentingan negara, ya soal kritik saya terima, saya tidak pernah lapor oleh kerana Ahli-Ahli Yang Berhormat kritik Perdana Menteri, maka itu jadi isu. Saya jawab kadang-kadang. Tetapi ini bukan soal kritik kepada Perdana Menteri. Ini usaha sabotaj Kerajaan dan negara.
“Dan kalau esok tahu orang yang nak dipertahankan oleh Yang Berhormat Arau itu, itu di antara kelompok Zionis terkemuka. Kelompok Zionis terkemuka, digunakan dalam program ini, projek ini dan nanti tunggu sabar entah seminggu, dua minggu, bila keadaan ini terbongkar, boleh diceritakan.
“Apa kita nak pilih nak pertahan? Tak ada orang lain dalam dunia untuk pertahankan kedudukan kita selain daripada merujuk kepada tokoh Zionis ini, memang jelas menentang Islam dan negara-negara yang mempertahankan Gaza,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai kesungguhan menyiasat dakwaan wujud komplot untuk menjatuhkan kerajaan.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah keluarga berpengaruh tempatan didakwa mendalangi komplot untuk menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan media antarabangsa serta pelobi luar negara.
Dakwaan itu terdapat dalam satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Brickfields dengan pengadu mendakwa gerakan berkenaan membabitkan keluarga terdekat seorang bekas menteri yang mempunyai pengaruh besar dalam landskap politik dan ekonomi negara sebelum ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kesungguhan kerajaan untuk menyiasat perkara itu bukan bersifat politik atau menyerang tokoh tertentu tetapi melihat secara keseluruhan kerana ia membabitkan keselamatan negara.
“Saya rasa saya tidak mahu menjadikan ini gelanggang politik parti ataupun kes. Ini bagi saya, minta mohon Arau sabar dan meneliti laporan dulu. Kalau Yang Berhormat Arau dengar satu, dia bukan semata kes untuk pertahankan satu tokoh.
“Betul dia nak angkat kedudukan tokoh tersebut. Tetapi yang dikemukakan dalam laporan itu, itu mempertikaikan seluruh sistem dalam negara ini. Dan rencana untuk menjatuhkan Kerajaan kerana timeline itu dari Ogos sehingga pilihan raya,” katanya.

