
SHAH ALAM - Beberapa pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan dilihat menghadiri Persidangan Agung UMNO (PAU) 2023 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Antara yang menjadi tumpuan adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila kembali menghadiri PAU setelah dipecat oleh parti tersebut pada 1998.
Anwar yang hadir sekitar jam 9 pagi itu segak berbaju Melayu biru muda, disambut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga kepimpinan tertinggi parti.
Selain itu, turut hadir adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Turut hadir adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Kali terakhir Anwar berucap di pentas PAU pada 1998 sebagai Timbalan Presiden UMNO sebelum dipecat parti itu.
Beliau yang turut dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri kemudian dipenjarakan atas tuduhan yang menurutnya percubaan bermotifkan politik untuk mematikan kerjaya dan pengaruhnya.

