Anwar Hadiri Perhimpunan Agung UMNO

Politics
9 Jun 2023 • 10:10 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar yang berpakaian baju Melayu biru muda dan bersongkok ditemani Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan UMNO. - Gambar Alif Omar

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pagi ini.

Ketibaan Anwar yang berpakaian baju Melayu biru muda dan bersongkok pada 9.05 pagi disambut Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan UMNO.

Kehadiran Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR kemudian diiringi Ahmad Zahid untuk naik ke pentas dan duduk bersebelahan dengan beliau serta disambut tepukan gemuruh para perwakilan yang hadir.

Anwar turut dilihat mengibarkan bendera Sangsaka Bangsa ketika lagu rasmi UMNO “Bersatu Bersetia Berkhidmat” dimainkan. 

Turut  hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan presiden-presiden parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan. 

Ini adalah Perhimpunan Agung UMNO pertama dihadiri Anwar selepas beliau dipecat daripada UMNO pada 1998 ketika memegang jawatan Timbalan Presiden parti itu. - Bernama