Anwar ingatkan rakyat berjimat ‘semuanya melambung tinggi’ akibat perang

LocalPolitics
7 Mar 2026 • 4:33 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya menguruskan kewangan dengan berhati-hati dan tidak boros berbelanja susulan perang di Iran, yang memberikan tekanan kepada ekonomi dunia.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang memantau situasi dengan teliti kerana ketegangan geopolitik dan gangguan bekalan mula memberi tekanan kepada ekonomi dunia termasuk mengakibatkan kenaikan harga barang.

“Semuanya melambung tinggi…setakat ini kerajaan adakan pertemuan cari jalan pertahankan.

“Tapi saya cuma nak bagi tahu awal supaya cermat belanja, jimat, simpan, jangan kita lupa dalam keadaan selesa ini, gambaran di dunia ini sudah kacau bilau. Bukan satu negara, tapi puluhan negara.

“Akibat perang Iran di Iran ini, ekonomi dunia gawat. Harga minyak sekarang melonjak dua kali ganda.

“Saya nak pertahankan Petrol RM1.99. Tak tahu berapa lama. Doakan supaya kita boleh bertahan kerana harga minyak sudah naik dua kali ganda,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul Quran 1447H di Masjid Mengkuang Titi, Permatang Pauh, hari ini.

Dalam ucapannya itu, Anwar turut menyentuh mengenai sekumpulan remaja yang ditahan polis semalam, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti berorientasikan ideologi kumpulan pengganas.

Menurutnya, keadaan masih terkawal dan beliau turut memuji pihak polis kerana bertindak dengan pantas.

“Ketua Polis Negara buat kenyataan tentang muncul satu kelompok anak-anak muda 18, 19 tahun yang terpengaruh dengan hasutan luar, ISIS. Yang nak buat negara Islam, ajar bagaimana bikin bom.

“Saya berysukur kerana keadaan masih terkawal, polis yang cekap mengenalpasti. Tapi jangan alpa dan cuai,’’ katanya.

Beliau turut menegaskan, anak-anak perlu dididik dengan ilmu dan diberikan penerangan serta kesedaran mengenai pengaruh luar yang boleh mempengaruhi mereka.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daesh di negara ini dengan penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur menerusi operasi khas baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun ditahan dalam operasi dilancarkan oleh Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Feb di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu. - 7 Mac, 2025

The post Anwar ingatkan rakyat berjimat ‘semuanya melambung tinggi’ akibat perang appeared first on Scoop.