Anwar jamin terus bantu keluarga Paramesvaree

LocalPolitics
1 Nov 2024 • 1:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Farhan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Paramesvaree ketika menziarahi keluarga wanita berkenaan. Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus membantu keluarga Paramesvaree dari Klang, Selangor yang berdepan kesusahan hidup selain diuji masalah kesihatan.

Jaminan itu disampaikan menerusi Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi wanita itu, yang terlantar kerana komplikasi perubatan sehingga kakinya terpaksa dipotong manakala suaminya pula menghidap penyakit jantung.

"Justeru, beberapa bantuan telah disalurkan dan akan ditambah bagi meringankan beban dihadapi memandangkan keluarga ini tinggal di bilik kecil, tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara kehidupan selain mempunyai seorang anak yang masih bersekolah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Anwar juga berharap keluarga itu tabah menghadapi ujian dan agar bantuan yang disalurkan membawa sinar cahaya serta kegembiraan kepada mereka dalam menyambut Deepavali.

Beliau berkata, perayaan Deepavali, yang disambut penganut agama Hindu pada Khamis, tidak lengkap jika tidak diraikan dengan membantu mereka yang memerlukan dan yang ditimpa kesusahan. - Bernama