
SEREMBAN: Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di seluruh negara, dengan perbincangan mengenainya dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata keputusan untuk mengkaji semula skim gaji berkenaan dibuat berikutan tiada kenaikan diberikan bagi tempoh yang agak lama, dengan kali terakhir skim gaji berkenaan disemak adalah pada tahun 2013.
“Kita akan bentangkan kepada Jemaah Menteri supaya diberikan kelulusan, maka Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Datuk Dr Zulkapli Mohamed) dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali), dah kemukakan pandangan kepada saya untuk memulakan pasukan mengkaji dan saya sudah bersetuju (dengan cadangan itu).
“Secara keseluruhannya, upah dan gaji penjawat awam masih di tahap yang terendah dan sangat wajar diberikan pertimbangan walaupun terikat dengan kekangan kewangan yang ada, tapi saya fikir sedikit perubahan kita boleh cari jalan supaya boleh beri (kelulusan),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Mohd Zuki di sini hari ini.-Bernama


