Anwar, Khaled tahu wujud kartel dalam tentera, dakwa Chegubard

LocalPolitics
3 Jan 2026 • 9:02 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sudah mengetahui kewujudan kartel dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Hanya Menteri Pertahanan dan PM yang tahu, sebab beberapa dokumen ada nota – ia telah sampai kepada pengetahuan PM dan Menteri Pertahanan. Hanya mereka yang boleh jawab,” katanya dalam sidang media di luar IPD Putrajaya semalam.

Badrul mendakwa beliau memiliki dokumen yang jelas menunjukkan perkara itu, dan telah membuat laporan polis serta menyerahkan bukti berkenaan.

Transaksi mencurigakan, pelantikan tertangguh

Menurutnya, semakan forensik terhadap dokumen tersebut mendedahkan transaksi bulanan puluhan ribu ringgit dimasukkan ke akaun seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.

Pendedahan itu dikatakan menjadi punca pelantikan Panglima Tentera Darat Hafizuddeain Jantan sebagai Panglima Angkatan Tentera baharu ditangguhkan, meskipun pelantikan itu sudah diputuskan Majlis Angkatan Tentera dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan seorang pegawai kanan tentera sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM turut menyita enam akaun bank dipercayai milik pegawai tersebut dan ahli keluarganya, selain melakukan penggeledahan di pejabat ATM di Kementerian Pertahanan serta kediaman rasmi suspek.

Aktivis itu mendakwa wujud satu sistem tersusun yang menguasai pelbagai bahagian penting dalam ATM:

Logistik – menyusun tender untuk orang mereka.

Sumber manusia – mengatur kenaikan pangkat dan meletakkan orang mereka di jawatan strategik.

Perancangan pertahanan – menetapkan spesifikasi tender selaras dengan peralatan syarikat tertentu.

“Ini memang sudah ada,” tegasnya.

Chegubard juga secara terbuka mencabar Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali, untuk memfailkan saman terhadapnya. Cabaran itu dibuat atas dakwaan khusus melibatkan penerbitan dokumen serta imej palsu yang dikaitkan dengan Sabri.

Menurut Chegubard, Sabri menjadi tumpuan siri pendedahan yang dilakukannya antara Mei hingga Ogos 2024. Dakwaan itu, katanya, telah menjejaskan peluang Sabri untuk dilantik sebagai panglima tentera laut.

Namun semalam, Sabri tampil dengan kenyataan tegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Chegubard, malah tidak teragak-agak untuk bertindak sama terhadap sesiapa sahaja yang menyebarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai dirinya.

Dalam sidang media di IPD Dang Wangi, Chegubard meluahkan rasa terkejut apabila dimaklumkan Sabri kini dilantik sebagai Presiden Puspahanas.

“Memang ada bukti didedahkan kepada umum. Macam mana ATM boleh simpan lagi pegawai macam ini?” katanya dengan nada lantang.

“Bukannya sebagai anggota yang jaga pintu, kedudukannya adalah pengerusi yang melatih pegawai-pegawai tentera lain,” tambahnya lagi. - 3 Januari, 2025

The post Anwar, Khaled tahu wujud kartel dalam tentera, dakwa Chegubard appeared first on Scoop.