Anwar luang masa baca kad raya kreatif kiriman murid

LocalPolitics
20 Mar 2026 • 4:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar terharu akan kesungguhan murid-murid yang menghasilkan kad ucapan raya dengan begitu kreatif.
image is not available
Sudah menjadi kelaziman Anwar untuk meluangkan masa membaca kad ucapan Aidilfitri daripada rakyat dan membalasnya semula seperti tahun-tahun sebelum ini.

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada murid sekolah dari seluruh negara atas kiriman kad ucapan raya sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menerusi hantaran video berdurasi lebih dua minit di Facebook pada Jumaat, Anwar mengakui terharu akan kesungguhan murid-murid yang menghasilkan kad ucapan raya dengan begitu kreatif.

“Alhamdulillah, terharu betul saya apabila menerima pelbagai kad ucapan Aidilfitri yang penuh warna-warni hasil kreativiti murid-murid. Ada yang melukis, ada yang siap berlampu, memang kreatif!

“Setiap kad yang saya terima bukan sekadar ucapan, tetapi tanda ingatan tulus dan penuh kasih sayang.

“Kecil pada rupa, namun besar maknanya buat saya. Terima kasih yang tidak terhingga, semuanya amat saya hargai!” katanya.

**media[3468872]**

Ahli Parlimen Tambun itu turut berkesempatan menitipkan ucapan salam lebaran dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam.

Difahamkan, sudah menjadi kelaziman Anwar untuk meluangkan masa membaca kad ucapan Aidilfitri daripada rakyat dan membalasnya semula seperti tahun-tahun sebelum ini.

Sinar Harian terdahulu melaporkan bahawa umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu, 21 Mac 2026.

Pengumuman itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada malam Khamis.