Anwar nafi dakwaan kerajaan sebar minit mesyuarat Lembaga Pengampunan

LocalPolitics
24 Nov 2026 • 12:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anwar nafi dakwaan kerajaan sebar minit mesyuarat Lembaga Pengampunan
Anwar ketika menjawab soalan pada sesi Pertanyaan - Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Parlimen pada Selasa. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kerajaan menyebarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan tahanan rumah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau turut menafikan bahawa minit mesyuarat yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia itu disebarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebaliknya beliau berkata, sebahagian dokumen berkenaan dinyahklasifikasikan oleh AGC bagi tujuan persiapan jawapan dalam menghadapi kes berkaitan isu tersebut yang dibawa ke mahkamah.

"Betul kalau kategori rahsia, ia harus kekal rahsia. Tetapi soalnya mengapa AGC nyahklasifikasi atau mohon untuk dinyahrahsiakan? Itu kerana ada permohonan di mahkamah jadi terpaksa ikut proses itu.

"Tetapi, siapa yang mengedarkan itu, saya percaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus siasat bagaimana boleh perkara ini tersebar awal. Tetapi sebaik sahaja dibentang di mahkamah, tentunya tersebar dengan sendirinya,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa. 

Anwar menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai bagaimana minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan tahanan rumah Najib boleh disebarkan oleh pihak ketiga di media sosial.

Perdana Menteri berkata, atas prinsip ketelusan dan kebebasan, isu berkaitan minit mesyuarat itu sepatutnya tidak diperbesarkan.

"Siapa (yang sebarkan) itu patut disiasat, (tetapi) jangan buat tohmahan seperti kerajaan edarkan. Tak ada, tidak benar kerana yang berlaku adalah keputusan Peguam Negara (nyahklasifikasi) mempersiapkan kes jawapan di mahkamah,” katanya.

Mahkamah Tinggi di sini pada 10 November lepas memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.

Badan Peguam kemudian memfailkan tindakan undang-undang baharu bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Badan Peguam menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Penjara dan Najib sebagai responden. - Bernama 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved