Anwar nyatakan hasrat Malaysia sertai BRICS kepada Presiden Brazil

Politics
18 Jun 2024 • 2:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar

BUKIT MERTAJAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan telah menyatakan hasrat untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia akan melalui proses-proses untuk memungkinkan negara menyertai organisasi antara kerajaan itu.

"BRICS, sejak dua bulan lalu, ia telah diangkat supaya Kementerian Luar buat kajian yang keputusan dasar kita untuk menyertai BRICS. Kita akan melalui proses untuk memungkinkan kita untuk menyertai BRICS.

"Saya sendiri telah bercakap dengan Presiden Brazil tentang hasrat yang sedemikian,” kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri kenduri sempena Raya Aidiladha kenalan lama beliau Hamzah Mat Isa di Mengkuang Semarak dekat sini, hari ini.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.

Pada Januari 2024 pula, negara Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!