Anwar pengerusikan mesyuarat khas jerebu Isnin ini

LocalPolitics
16 Oct 2026 • 4:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anwar pengerusikan mesyuarat khas jerebu Isnin ini

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Pusat berkaitan jerebu pada Isnin ini.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat itu akan turut meneliti maklumat lanjut daripada beberapa kementerian berkaitan, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkembangan lanjut mengenai langkah menangani jerebu akan dimaklumkan susulan mesyuarat berkenaan.

“Beberapa maklumat lanjut akan disusuli daripada mesyuarat pada hari Isnin nanti, termasuk daripada pihak KKM, KPM dan KBS,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas kemungkinan bantuan tambahan Malaysia bagi menangani kebakaran hutan di Indonesia, Fahmi berkata, terdapat perkembangan dalam perkara itu susulan makluman daripada Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, beberapa aspek penyelarasan perlu diteliti semula memandangkan kebakaran berkenaan sudah merebak dengan agak meluas.

“Tawaran bantuan dan aset oleh Malaysia yang dikemukakan sejak kira-kira sebulan lalu mungkin perlu dinilai semula bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar berkesan.

“Jadi perbincangan susulan akan dibuat, namun setakat ini belum ada maklumat terperinci ataupun khusus mengenai apa aset yang akan dihantar. Jadi kita, perbincangan itu masih berjalan,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia berkemungkinan menambah bantuan sekiranya keadaan kebakaran bertambah buruk, Fahmi berkata, kemungkinan itu ada.

Perkembangan lanjut mengenai bentuk bantuan yang akan disalurkan dijangka diketahui selepas penyelarasan antara pihak berkaitan dimuktamadkan. – UTUSAN

The post Anwar pengerusikan mesyuarat khas jerebu Isnin ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved