
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan blok pembangkang yang keluar Dewan Rakyat ketika sesi penerangan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata persoalan utama yang perlu diberi perhatian bukan berkaitan dirinya, sebaliknya isu yang melibatkan Tabung Haji dan kepentingan para pendeposit.
“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik?” katanya.
Anwar turut mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi PAS sama ada benar-benar mengambil berat kepentingan golongan berpendapatan rendah, termasuk nelayan, petani, guru, polis, tentera dan pesara.
Baca juga:
‘Tak perlu kumpulkan 222 Ahli Parlimen untuk dengar ‘podcast’ kerajaan’ – Wan Fayhsal
‘Parlimen bukanlah one-man show’ – Syed Saddiq bidas pembangkang- Anwar persoal tindakan pembangkang keluar Dewan ketika isu RCI Tabung Haji dibahas
Menurutnya, golongan berkenaan telah mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji dengan tujuan menunaikan Rukun Islam kelima, justeru isu berkaitan institusi berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan.
“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam.
“Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” katanya.
Sebelum itu, sebahagian besar ahli Parlimen blok pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat selepas usul penangguhan sidang khas bagi membahaskan laporan RCI TH ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pembangkang tidak akan mengikuti sesi penerangan menteri berhubung laporan berkenaan kerana kerajaan hanya menjadikannya sebagai sesi penerangan, bukannya perbahasan yang diikuti proses pengundian seperti beberapa RCI terdahulu.
The post Anwar persoal tindakan pembangkang keluar Dewan ketika isu RCI Tabung Haji dibahas appeared first on The Reporter.






