
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak menerima sebarang butiran berhubung peletakan jawatan Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Malah kata Perdana Menteri, Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang hadir mesyuarat Kabinet hari ini.
“Datang, datang. Belum lagi,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di sebuah surau di Presint 16, Putrajaya, hari ini.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebelum ini menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan dalam Kabinet sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah berhubung 40 peratus hasil Persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Upko Bahagian Penampang, Ahad lalu.
Malah salah satu bahagian dalam UPKO meluluskan usul yang menggesa beliau berundur sekiranya rayuan terhadap keputusan tersebut difailkan.
Pada 19 Oktober lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataannya memberitahu ia akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memutuskan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu menjalankan satu lagi kajian semula berhubung Pemberian Khas kepada Negeri Sabah bagi tempoh tahun 1974 hingga 2022.
“Jabatan Peguam Negara akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah menerimanya kelak sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” jelas kenyataan itu.
Ia susulan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengarahkan Putrajaya mengadakan semakan bersama kerajaan Sabah mengenai hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip kerajaan Persekutuan daripada negeri itu.
Perintah itu dibuat selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid, membenarkan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak perlembagaan Sabah untuk menuntut 40 peratus hasil tersebut.
Mahkamah mengisytiharkan Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad. - 24 Oktober, 2025
The post Anwar sahkan Ewon hadir mesyuarat Kabinet, belum letak jawatan appeared first on Scoop.

