Anwar seru ASEAN kukuhkan perpaduan hadapi jenayah rentas sempadan dan persaingan kuasa besar

24/09/2025 - 18:11
Gambar Facebook Perdana Menteri Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 24 Sept – Perpaduan, kohesi dan kepentingan ASEAN mesti sentiasa dipupuk dan diperkukuh, terutamanya apabila rantau ini berdepan pelbagai cabaran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, ASEAN yang berpecah hanya akan menghalang visi bersama untuk membina rantau yang aman dan makmur.
“Tanpa mengambil kira retorik, kohesi dan kepentingan Asean mesti diperoleh, diperbaharui dan diperkukuh. ASEAN yang berpecah hanya akan menghalang visi bersama bagi rantau yang aman dan makmur.
“Oleh itu, usaha ke arah perpaduan ASEAN mesti diteruskan, lebih-lebih lagi apabila rantau ini menghadapi pelbagai cabaran.
“Kebangkitan jenayah rentas sempadan, persaingan kuasa besar yang memecah-belahkan, ketidaksamaan ekonomi, double standard, munafik, atau apa yang saya panggil sebagai percanggahan dalam penerapan undang-undang dan norma antarabangsa – ini adalah cabaran besar dan memerlukan tekad yang serius untuk diatasi.
“Tetapi lebih sukar dan licik adalah kekejaman yang dilakukan terhadap golongan lemah dan tertindas, terutamanya negara-negara miskin dan lebih teruk lagi, genosid yang dilakukan ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam Syarahan Presiden dan Penerimaan Penganugerahan Grand Collar of the Order of Timor-Leste semasa lawatan kerja beliau ke negara itu hari ini.

Anwar berkata, ASEAN telah berkembang dan pembentukannya diperkukuh oleh pengajaran dari beberapa tahun kebelakangan ini.
“Perpaduan, kohesi dan kepentingan kita bukanlah suatu dasar yang sudah pasti, ia telah mengalami pasang surut sepanjang hampir enam dekad kewujudan kita.
“ASEAN ditubuhkan pada era persaingan geopolitik yang sengit antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet.
“Pendahulu kita mempunyai kebijaksanaan dan visi untuk menyedari bahawa rantau ini mesti mengekalkan semangat, keamanan dan menjadi zon yang aman serta neutral dan kini kita telah mengadaptasi prinsip kepentingan ini untuk berinteraksi dengan semua negara tanpa mengira, sambil tetap teguh dengan dasar, visi, prinsip dan cita-cita kita,” katanya.
Anwar menambah Visi Komuniti Asean 2045 yang diterima pakai pada Mei lalu akan merangka hala tuju masa depan bagi dua dekad akan datang untuk membentuk komuniti yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berfokuskan rakyat.
Beliau berkata, visi itu juga adalah bayangan ASEAN yang maju sebagai pusat pertumbuhan di rantau Indo-Pasifik.
“Ini bukan sekadar retorik baru, tetapi pernyataan jelas dan berani oleh ASEAN mengenai jati dirinya. Sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Tugas Tahap Tinggi beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia sedar sepenuhnya tentang realiti dan kepentingan 2025.
“Ini sebabnya kita mengadaptasi tema inklusiviti dan kelestarian. Mudah untuk diungkapkan, tetapi besar dalam realisasi kerana kita mengaspirasikan kemajuan yang benar-benar dikongsi, tanpa meninggalkan sesiapa, adalah visi dan aspirasi yang anda miliki dan saya amat hargai,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai, terutamanya golongan muda, semakin tidak sabar kerana defisit kepercayaan serta percanggahan dan kemunafikan banyak pemimpin serta kegagalan menjadi adil, inklusif, lestari dan berpandangan jauh dalam dasar-dasar mereka.
Anwar berada di Timor Leste untuk lawatan kerja dua hari dengan ucapan bersejarah di Parlimen Negara itu.
Beliau juga dianugerahkan Grand Collar of the Order of Timor-Leste, penghormatan tertinggi negara tersebut.
Timor Leste dijangka menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11 bulan depan. - DagangNews.com
standard

