Anwar tiba di Himpunan Pembebasan Palestin, sampaikan pidato

Politics
4 Aug 2024 • 9:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar tiba di Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menyertai Himpunan Pembebasan Palestin.

image is not available
Anwar tiba di Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menyertai Himpunan Pembebasan Palestin.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Axiata Arena, Bukit Jalil pada jam 9.25 malam ini bagi menyertai Himpunan Pembebasan Palestin sambil diiringi beberapa menteri Kabinet.

Antaranya, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Muhammad Sabu; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong serta ramai lagi.

Ketibaan Anwar disambut dengan jeritan slogan Bangkit Gaza, Hidup Palestin, Palestin Merdeka, bahkan laungan takbir.

Difahamkan Anwar akan menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin pada jam 9.50 malam.

Tujuan himpunan berkenaan diadakan antara lain bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis terhadap bumi Palestin.