Anwar Tiba Di Jakarta Untuk Lawatan Rasmi Pertama Sebagai PM

LocalPolitics
8 Jan 2023 • 4:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim bersama Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan disambut Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia Basuki Hadimuliono - Gambar Bernama

Jakarta - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tiba di Jakarta, Indonesia untuk lawatan rasmi pertamanya ke luar negara untuk mengukuhkan lagi hubungan bilateral dan ekonomi dengan negara jiran itu. 

Pesawat khas yang membawa Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di lapangan terbang Soekarno Hatta dan ketibaan mereka disambut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar Negeri Dr. Zambry Abd Kadir.

Sebagai tanda menghormati latar belakang budaya yang dikongsi antara masyarakat Melayu dan Indonesia, Anwar juga mengenakan songkok tradisional sewaktu ketibaan.

Sepanjang lawatan dua hari ini, Anwar bakal menyaksikan upacara menandatangan memorandum persefahaman dan surat niat (LOI) oleh syarikat-syarikat Malaysia dan GLC bersama rakan sejawat di Indonesia. 

Antara syarikat utama yang bakal menandatangani MOU dan juga memorandum kerjasama (MOC) adalah FGV Holdings Bhd (MOC), Exim Bank Malaysia (MOU) dan Airod (MOU).

Syarikat yang bakal memeterai LOI termasuklah gergasi industri seperti Berjaya Group, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Boustead Properties Berhad dan Carsome.

Delegasi ini bakal bertemu Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Presiden, Bogor esok pagi. 

Perdana Menteri juga dijadualkan untuk melawat rakyat Malaysia di Indonesia malam ini di Kedutaan Malaysia. - The Vibes, 8 Januari 2023