
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat ulang tahun ke-101 kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mendoakan agar Dr Mahathir terus dikurniakan rahmat, kesihatan yang baik serta keberkatan daripada Allah SWT.
View this post on Instagram
“Semoga Tun terus dilimpahi rahmat, kesihatan yang baik dan berada dalam keberkatan-Nya, insya-Allah,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Dr Mahathir dilahirkan di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 1925.
Bagaimanapun, bapanya mendaftarkan tarikh lahir beliau dalam sijil kelahiran pada 20 Disember bagi memudahkan urusan pendaftaran persekolahan.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu merupakan Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Malaysia dan pernah menyandang jawatan tersebut sebanyak dua kali.
Beliau pertama kali berkhidmat sebagai Perdana Menteri Keempat dari tahun 1981 hingga 2003, sebelum kembali menerajui pentadbiran negara pada 2018 hingga 2020.
Selepas bersara, beliau masih aktif mengulas perkembangan politik semasa, termasuk mengkritik dasar yang diperkenalkan penggantinya seperti Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.
Sepanjang pentadbirannya, beliau membawa pelbagai pembangunan melalui dasar dan perancangan yang sebahagiannya diilhamkan daripada kejayaan negara luar.
Dr Mahathir juga sering dikaitkan dengan usaha mengangkat Malaysia sebagai antara negara berdaya maju di Asia Tenggara dan dikenali di peringkat dunia.
Antara projek mega yang dibangunkan ketika era pentadbirannya termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia, Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.
Beliau juga memperkenalkan Wawasan 2020, iaitu visi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi turut merangkumi pendidikan, kematangan masyarakat dan tadbir urus.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
The post Anwar Ucap Selamat Ulang Tahun Ke-101 Kepada Tun Mahathir – “Semoga Terus Dilimpahi Rahmat..” first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






