
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Universiti Malaya (UM) atas kejayaan bersejarah menjadi universiti pertama Malaysia menembusi kelompok 200 terbaik dunia dalam Times Higher Education World University Rankings 2027.
Perdana Menteri berkata pencapaian UM yang menduduki tempat ke-194 dalam senarai itu mencerminkan kecemerlangan universiti tersebut dalam bidang pengajaran dan penyelidikan selain menyuntik keyakinan bahawa institusi pendidikan tinggi tempatan mampu bersaing dengan universiti terkemuka dunia.
“Justeru, kecemerlangan ini mesti terus diperkukuh dengan budaya ilmu yang subur, kebebasan berfikir serta penyelidikan yang menjawab keperluan masyarakat dan negara. Universiti harus melahirkan generasi yang tajam akal, teguh nilai dan akhlak serta berani meneroka gagasan baharu.
“Kejayaan ini harus menjadi pemangkin kepada UM dan seluruh institusi pendidikan tinggi kita untuk terus meningkatkan mutu dan mengangkat martabat ilmu,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar juga berharap UM dapat terus melakar kejayaan yang mengharumkan nama Malaysia.
Berdasarkan penarafan terbaharu itu, UM meraih skor keseluruhan 59.5 mata manakala sebuah lagi universiti negara Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) menduduki tangga ke-242 dengan 57.3 mata.


