Anwar yakin Kerajaan Perpaduan kekal hingga PRU16

14 May 2023 • 6:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar ketika menyampaikan amanat Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sejak enam bulan lalu akan kekal sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Justeru Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengingatkan barisan kepimpinan kerajaan supaya memastikan segala tatakelola dilaksana dengan sempurna selain menghentikan amalan rasuah dalam dasar kerajaan.

“Kita bangga dapat tubuh kerajaan dan tidak dijangka (kerana) ada kata (kekal) tiga bulan, sebelum puasa dan sebelum raya, tetapi dengan konvensyen hari ini telah memberi signal jelas kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa kerajaan ini bukan hanya stabil tetapi kekal hingga PRU akan datang.

“(Kerajaan) Kekal untuk pastikan tatakelola mesti baik, hentikan amalan rasuah dan salah guna kuasa serta pastikan dasar yang boleh memacu pertumbuhan dan membela nasib rakyat,” katanya ketika menyampaikan amanat Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.

Konvensyen yang julung kali diadakan itu melibatkan hampir 10,000 perwakilan dan penyokong daripada 19 parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan diadakan secara serentak dengan Konvensyen Wanita, Pemuda dan Puteri.

Sementara itu, Anwar turut menyatakan penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan sokongan gabungan itu untuk menyokong pertubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Zahid antara yang paling kuat diserang termasuk saya, tetapi saya nak beritahu, kalau tidak kerana komitmen Zahid sebagai Presiden UMNO dan dokongan ahli-ahli Parlimen UMNO, sejarah kita tentu berubah.

“Jadi kita juga harus iktiraf peranan beliau (Ahmad Zahid) dan UMNO juga," katanya.

Beliau turut memberitahu, peranan Yang di-Pertuan Agong sendiri dalam menangani keadaan politik yang kritikal masa itu turut menjadi faktor penentu selain sokongan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Gabungan Rakyat Sabah.