Anwar Zahir Rasa Sedih Pemergian Dr Razali Nawawi

18 May 2023 • 1:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim bersama Allahyarham Dr Razali Nawawi - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih atas pemergian pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pertama Dr Razali Nawawi yang meninggal dunia di Hospital Pakar An-Nur pada 6.45 pagi tadi.  

Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata Allahyarham merupakan seorang penjana dan pendiri ABIM yang gigih bersama beliau dan rakan yang lain, selain merupakan antara guru dalam perjuangan penuh liku.

“Saya sempat menziarahi beliau minggu lepas yang sedang uzur. Semoga Allah merahmati rohnya dan memaafkan semua kesalahannya.

“Mendoakan keluarga dan insan tersayang yang ditinggalkan tabah dan dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT. Innalillahi wainnailaihirajiun,” katanya. 

Pada 13 Mei lepas, Perdana Menteri meluangkan masa menziarahi Razali di kediamannya yang pada ketika itu berada dalam keadaan uzur.

Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama berkata Razali, 83, meninggal dunia akibat kanser prostat.  

Jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, Selangor dan solat jenazah dijangka akan diadakan selepas Zohor.

Razali menjadi Presiden ABIM pertama pada 1972 dan telah memperkenalkan sistem usrah sebelum diambil alih oleh Anwar sebagai Presiden ABIM yang kedua pada 1974. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved