
SEPERTI gong sudah dipalu, tinggal lagi serunai nafiri ditiup untuk mengumumkan perutusan rasmi, begitulah situasi yang menghangatkan kemuncak ‘hari raya’ perfileman tanah air, Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) hujung November nanti.
Cuma kali ini, rumah belum siap, pahat sudah berbunyi.Puncanya, apabila Jun Lojong, pelakon yang menghidupkan watak Maria Hadi dalam Polong, tercicir daripada senarai lima calon akhir kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Mengapa ketiadaan Jun begitu diperkatakan, sedangkan calon lain turut ada ‘barang’ untuk dinilai? Adakah kita sedang menyaksikan pertembungan antara penilaian juri dengan kuasa telunjuk khalayak?
Jun, isteri kepada pengarah dan pelakon Nam Ron, pernah menang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Roh pada FFM31. Namun, pencapaian terdahulu bukan jaminan untuk mengulangi kejayaan.
Dalam pertandingan seni, persembahan yang memikat emosi penonton tidak semestinya menghasilkan keputusan yang sama di mata juri. Khalayak menilai melalui pengalaman menonton, sedangkan juri memikul membawa pertimbangan profesional berdasarkan visual dan wibawa.
Persoalannya, apakah ukuran yang membezakan satu tahap dan kualiti persembahan? Penghayatan watak, penguasaan emosi, ketepatan ekspresi dan sumbangan kepada keseluruhan naratif? Namun, tanpa mengetahui keseluruhan proses penjurian, agak terburu-buru untuk menyifatkan keputusan itu sebagai kesilapan hanya kerana nama yang diharapkan tidak tercalon.
Pada masa sama, menghormati keputusan juri tidak bermakna khalayak harus berhenti bertanya kerana profesionalisme bukan bermaksud keputusan tidak boleh dipersoalkan, sebalik perlukan hujah, bukan sentimen.
Lima pelakon yang tercalon merebut trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, iaitu Zarra Zhaff menerusi Khadam, Sofea Jane (Malam Terlarang), Sara Ali (Libang Libu), Pearly Chua (Mother Bhumi) dan Azira Shafinaz (Tarung Unforgiven), juga berhak diraikan. Ketiadaan Jun juga bukan alasan untuk merendahkan calon tersebut.
Inilah cabaran anugerah dalam era media sosial. Pengumuman calon bukan sekadar pemanas menuju kemuncak, sebaliknya segera menjadi medan penghakiman khalayak. Nama yang tercicir mengundang persoalan, manakala yang terpilih tidak terlepas daripada penilaian.
Namun, adakah setiap ketidakpuasan hati bermakna memang ada kepincangan? Bahasa filem tafsirannya luas. Dua orang boleh menonton naskhah sama tetapi pulang dengan penilaian berbeza.
Justeru, FFM juga bukan untuk dinilai melalui siapa penjulang trofi, tetapi juga melalui keyakinan khalayak terhadap proses. Keputusan juri wajar dihormati, namun penerangan yang munasabah tentang prinsip penilaian harus jelas. Ketelusan dan kebebasan juri juga harus seiring demi kewibawaan anugerah.
Hujungnya, trofi terbaik mungkin milik seorang pemenang, tetapi seni tidak seharusnya terkurung dalam satu keputusan. Anugerah tidak sekadar diraikan ketika pemenang diumumkan, tetapi prosesnya harus meyakinkan semua pihak.
The post Apa hebatnya Jun, juri silap atau khalayak yang ‘over’? appeared first on Kosmo Online.

