Apa Hukum Wanita Sertai Misi Flotila Hantar Bantuan Ke Gaza? Ini Penjelasan Pejabat Mufti WP

LocalPolitics
10 Sep 2025 • 11:43 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Ketika ini, lebih 50 kapal dari seluruh dunia sedang berlayar ke Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan buat penduduk Palestin yang berdepan kebuluran, misi terbabit digelar Flotila Global Sumud.

Misi yang digelar Flotila Global Sumud ini dilakukan selepas penjajah Israel melakukan sekatan haram kepada bantuan-bantuan luar dari darat yang ingin memasuki wilayah bergolak itu.

Ia turut meraih perhatian di Malaysia selepas sekumpulan aktivis kemanusiaan termasuk golongan wanita menyertai rombongan berkenaan antaranya selebriti seperti Zizi Kirana, Ardell Aryana dan Farah Lee.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan jelaskan hukum wanita serta misi flotila

Terbaharu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) tampil menjelaskan tentang hukum wanita menyertai misi flotilla Gaza ini.

Ia selepas terdapat individu yang menyoal mengenai hukumnya selain perkara terbabit juga menjadi perdebatan segelintir orang di media sosial.

Menerusi laman sesawang Pejabat Mufti WP, mereka menjelaskan bahawa hukum bagi wanita keluar berjihad di luar negara pada asasnya adalah tidak wajib.

Hukum wanita sertai misi flotila adalah harus dan tidak salah

Bagaimanapun, menurut Pejabat Mufti WP, pada zaman hari ini terdapat keperluan dan hajat yang memerlukan penglibatan wanita contohnya dalam membantu wanita lain yang berada dalam keadaan peperangan.

“Oleh yang demikian, sumbangan dan peranan mereka dalam pelbagai aspek yang lain dalam membantu kejayaan sesuatu misi jihad merupakan suatu perkara yang dituntut dan terpuji.

“Hal ini dengan berdasarkan garis panduan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Susulan itu, hukum penyertaan wanita dalam misi flotila adalah harus dan tidak salah untuk terlibat.

“Lebih-lebih lagi dalam situasi rakyat Palestin yang cukup terdesak dalam mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada sesiapa pun yang sanggup menempuhi cabaran,” kata Pejabat Mufti WP.

Sebagai info, Zizi Kirana dan Ardell telah tiba di Tunisia selepas beberapa hari memulakan perjalanan dari Sepanyol, namun kapal yang dinaiki telah diserang oleh dron sewaktu berada di perairan Tunisia.

Namun tiada kemalangan jiwa berlaku dan semua penumpang disahkan selamat.

Source: