'Apa makna Perpaduan jika dipilih-pilih' - Fadhli Umar

Politics
29 Dec 2023 • 3:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

JOHOR BAHRU - Exco Pemuda Parti Amanah Negara ( Amanah), Fadhli Umar Aminolhuda menyelar Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kenyataan tiada keperluan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor.

Fadhli Umar turut mempersoalkan makna perpaduan sekiranya dipilih-pilih sedangkan kekuatan dan kestabilan perlu dibina di Johor.

"Apakah maknanya perpaduan, jika ianya perpaduan yang dipilih-pilih. Apabila kamu ditinggalkan, bising seantero dunia.

"Apabila kami ditinggalkan, oh Kerajaan sudah stabil maka tidak perlu pada Perpaduan. Jika betul mahukan Perpaduan, ambillah semuanya dan bukan memilih!

"Jika betul mahukan kestabilan dan kekuatan yang padu, ayuh realisasikan Kerajaan Perpaduan Negeri Johor Darul Takzim !" katanya dalam laman Facebooknya pada Sabtu.

Pada Jumaat, Dr Muhamad Akmal dilaporkan berkata, tiada keperluan membentuk Kerajaan Perpaduan di Johor kerana kerajaan negeri yang dibentuk oleh BN, kini stabil dan berjalan dengan baik.

Sebelum ini, Amanah Johor menuntut penubuhan segera Kerajaan Perpaduan di negeri itu sebagai menyahut seruan penubuhan kerajaan di peringkat pusat.