BATU PAHAT – Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa tidak konsisten dalam memberikan sokongan kepada kerajaan Negeri Sembilan, sehingga menimbulkan ketidakstabilan politik di negeri berkenaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu menegaskan keputusan mengembalikan mandat kepada rakyat adalah langkah terbaik bagi memastikan kerajaan yang dibentuk.
"Malangnya, sahabat kita ketika itu, mereka tidak sabar. Mereka mengkhianati kita dan mereka tebuk kapal yang kita dalam keadaan yang sedang berlayar dengan baik. Inilah bukti kepada kita semua.
"Rakyat Johor harus ingat dan insaf, bahawa apa yang berlaku di Negeri Sembilan ini tidak harus berulang di mana-mana.
"Kita tak nak dalam keadaan kita menghormati, saling hormat-menghormati, saling beri-memberi, memastikan kelancaran kerajaan negeri berjalan dengan baik, tiba-tiba okey mereka tebuk kapal yang kita sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Kim’s Park Business Centre di sini pada Sabtu.
Jelas beliau, apa yang berlaku itu sepatutnya menjadi renungan dan pengajaran kepada rakyat terutama pengundi supaya tidak tersalah pilih.
Menurutnya, apa yang penting dalam hidup adalah keikhlasan dan kejujuran perjuangan serta paling penting adalah janji yang harus sentiasa disepakati.
"Inilah yang harus berlaku dan inilah yang berlaku di Johor hari ini yang masih ada masa lagi untuk pilihan raya tak lama lagi, tetapi terpaksa diadakan lebih awal.
"Kami di Negeri Sembilan terpaksa mengadakan pilihan raya kerana apa? Kerana kita hari ini sekejap mereka sokong, sekejap mereka tarik. Sekejap mereka kata bersama, sekejap mereka tak nak ikut serta saya.
"Apa salah saya, saya pun tak tahu.
Mereka kata...mereka tak bincang pun. Tapi akhirnya mereka tarik sokongan, lepas tu tiba-tiba memberikan sokongan semula.
'Yang akhirnya, kita rasa bahawa perlu kita serahkan mandat ini kepada rakyat semua," katanya.






