‘Apa sebenarnya berlaku kepada Afiq Arham’

30 Jul 2026 • 8:36 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Apa sebenarnya berlaku kepada Afiq Arham’

PASIR PUTEH – Keluarga kepada seorang banduan parol yang maut ketika bekerja di sebuah lombong emas di Kampung Sokor, Tanah Merah dekat sini hujung bulan lalu menuntut siasatan telus, menyeluruh dan adil bagi merungkai punca sebenar kejadian tersebut.

Dalam insiden itu, Allahyarham Afiq Arham Anuar, 19, me­ninggal dunia selepas sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux yang diparkir di atas bukit dikatakan mengundur sendiri sebelum merempuh mangsa.

Ibu mangsa, Rosmaliza ­Yacoob, 49, berkata, anaknya ketika itu merupakan banduan yang menjalani perintah parol dihantar bekerja di lokasi ber­kenaan dan masih berada ­jagaan pihak penjara.

Dakwanya, ahli keluarga tidak pernah dimaklumkan bahawa Allahyarham ditempatkan untuk bekerja di lombong ber­kenaan dan hanya mengetahui perkara itu selepas diberitahu oleh seorang kenalan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada saksi di lokasi kejadian, sebuah kenderaan trak pikap jenis Toyota Hilux dikatakan diparkir di atas bukit selama kira-kira 30 minit apabila pemandunya berhenti untuk makan dan berehat.

“Difahamkan, Afiq Arham ketika itu sedang makan seorang diri di belakang trak pikap berkenaan sebelum kenderaan tersebut dipercayai mengundur sendiri dan melanggarnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Banggol Pak Esah di sini semalam.

Rosmaliza memberitahu, keluarga masih mempunyai beberapa persoalan berhubung insiden itu selain terdapat beberapa bukti yang diharapkan dapat membantu siasatan pihak polis.

“Kami berharap semua aspek berkaitan kejadian tersebut diteliti secara menyeluruh agar segala persoalan dapat dirungkai bersabit kejadian yang menyebabkan kematian anak saya,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Muhammad Airell, 21, berkata, keluarganya menghormati proses undang-undang dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.

“Kami tidak mahu menuduh sesiapa sebelum siasatan selesai.

“Kami hanya mahu me­ngetahui apa yang sebenarnya berlaku dan berharap keadilan dapat ditegakkan untuk arwah Afiq Arham.

“Kami sekeluarga mengajak orang ramai mendoakan ­Allahyarham dan memberi ­ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara ­profesional sehingga kes itu selesai,” katanya.

Difahamkan, pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes terbabit.

 

The post ‘Apa sebenarnya berlaku kepada Afiq Arham’ appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved