
Kota Kinabalu: Industri pelancongan Sabah memerlukan pembaharuan besar selepas bertahun-tahun tidak berkembang, walaupun negeri ini dikurniakan keindahan semula jadi.
Rakyat Sabah dinafikan banyak kekayaan industri ini akibat kegagalan menangani pengendali tidak berlesen, infrastruktur yang lemah dan ketirisan hasil, kata Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (Satta) Dato’ Seri Winston Liaw.
Liaw menyeru agar lebih tumpuan diberikan kepada pembangunan pelancongan luar bandar untuk memacu ekonomi tempatan kerana terdapat banyak “permata tersembunyi” di Papar, Keningau, Tenom, Beaufort, Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Ranau.
“Pelancongan luar bandar mewujudkan pekerjaan untuk golongan muda serta membantu memelihara kraf tradisional, makanan dan budaya. Ia juga menawarkan pembelajaran kehidupan sebenar kepada pelajar.
“Pelancong dari China dan pelawat lain teruja untuk meneroka kawasan luar bandar Sabah kerana warisan asli masyarakat peribumi, landskap semula jadi yang tidak terusik serta layanan mesra penduduk,” kata Liaw ketika berucap dalam “The Reset Sabah: Tourism Forum” di Werk Hub Hilltop, anjuran Parti Warisan Sabah.
Agensi kerajaan mesti bekerjasama dengan pengusaha pelancongan, sekolah dan komuniti setempat untuk memulakan projek perintis di Keningau dan Papar, kata Liaw dalam ceramah bertajuk “Pelancongan Luar Bandar dan Risiko Pembayaran Perlu Ditangani”.
“Ideanya adalah untuk membawa orang ramai ke luar bandar Sabah bukan sekadar untuk promosi tetapi bagi memperkasa komuniti dalam memelihara budaya dan membina sebuah negeri yang bersatu serta makmur,” katanya.
Liaw turut memberi amaran tentang kaedah pembayaran digunakan oleh kumpulan luar tertentu yang menuntut bayaran penuh bagi pakej pelancongan ke luar negara 45 hari sebelum berlepas.
“Kebiasaannya bayaran dikutip tiga minggu sebelum berlepas dan dihantar setelah tiba di negara destinasi.
“Bayaran awal bermaksud wang kita sudah berada di pihak pengendali, yang boleh menjejaskan aliran tunai kita. Jumlah ini boleh dengan mudah mencecah jutaan ringgit,” katanya.
Beliau berkata bayaran awal membawa risiko tinggi, seperti yang dilihat dalam kes pelancong dari Sarawak dan Semenanjung tiba di destinasi tetapi mendapati tiada sebarang pengaturan dibuat untuk lawatan mereka.
“Kumpulan luar ini kini menyasarkan Sabah dan demi melindungi kepentingan pelancong serta agensi tempatan mereka mesti menyediakan jaminan bank,” kata Liaw.
Melanie Chia, Timbalan Ketua Bahagian Warisan Kota Kinabalu, skeptikal sama ada rakyat Sabah benar-benar mendapat manfaat daripada kutipan hasil pelancongan berjumlah RM7.28 bilion yang direkodkan pada 2024, yang menyumbang 10.7 peratus kepada KDNK negeri.
Walaupun hasil pelancongan begitu besar, beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, yang merupakan lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia, hanya menerima RM442 juta untuk kerja-kerja naik taraf berbanding RM1.5 bilion untuk Pulau Pinang.
Beliau berkata kemudahan asas, utiliti dan fasiliti di kawasan pelancongan negeri masih dalam keadaan daif dan Sabah juga tidak mempunyai penjenamaan global setanding Bali, Phuket dan Vietnam.
“Kalau kita tidak tanganinya, Sabah akan terus ketinggalan walaupun memiliki keindahan alam semula jadi bertaraf dunia. Pelancong mungkin datang tetapi mereka tidak akan tinggal lama dan tidak mungkin kembali semula,” kata Chia dalam ucapannya bertajuk “Infrastruktur dan Penjenamaan Mesti Diperbaiki”.
Chia menggesa agar pembangunan pelancongan jangka panjang Sabah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dan menegaskan negeri ini mesti memperjuangkan pelaburan yang setara dalam projek berimpak tinggi persekutuan.
Ketua Penerangan Warisan Kota Kinabalu, Samuel Wong, dalam ucapannya bertajuk “Menuntut Balik Hak Pelancongan untuk Sabah” menekankan ketidakseimbangan dalam sektor itu, sambil berkata warga asing dan pengendali haram terus mendominasi industri.
Beliau berkata banyak agensi pelancongan Korea menguruskan sendiri pasaran Korea mereka manakala pelancong China pula dikendalikan oleh platform haram dalam talian.
Ini termasuk penginapan yang dikendalikan warga asing serta van haram dan perbelanjaan pula disalurkan kepada kedai milik warga asing, katanya.
Beliau berkata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengakui masalah lambakan pengusaha haram ini.
Wong menggariskan pelan reformasi Warisan, iaitu menurunkan kuasa pelancongan daripada kerajaan persekutuan sekiranya parti itu kembali berkuasa.
Beliau berkata Sabah akan mempunyai kuasa penuh untuk mengeluarkan dan meluluskan lesen agensi pelancongan, pengendali dan pemandu pelancong serta menetapkan dasar dan menjalankan penguatkuasaan.
Sabah juga akan mempunyai pasukan penguatkuasaan pelancongan sendiri untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berkala terhadap industri pelancongan, katanya.
Rakyat Sabah akan disokong dengan pembiayaan mikro bagi membangunkan industri pelancongan. Latihan berkualiti turut disediakan kepada pemandu pelancong dan penyedia perkhidmatan, termasuk kemahiran bahasa, tambahnya.
Sabah akan dijenamakan semula di peringkat global untuk meneroka pasaran baharu dengan bekerjasama bersama syarikat penerbangan, pempengaruh dan kempen media sosial yang berimpak tinggi, katanya.
Lebih banyak tapak pelancongan baharu akan dibangunkan untuk menarik pelancong berulang dan kehidupan malam di Kota Kinabalu akan dipertingkatkan dengan pasar malam, persembahan jalanan, acara kebudayaan dan persembahan seni, katanya.
Lebih banyak acara antarabangsa berskala besar seperti Kaamatan, maraton, triathlon dan pelancongan sukan juga akan dipromosikan, katanya.
