TUN Razak sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-104 hari ini.
Dalam waktu yang mencabar hari ini, saya sering tertanya bagaimana beliau mungkin memimpin kita sekiranya masih bersama. Apakah pilihan yang akan dibuat, nada kepimpinan yang akan dibawa, dan soalan-soalan yang mungkin akan ditanyakan.
Perjalanan saya dengan Tun Razak bermula pada tahun 1969, walaupun ketika itu saya sendiri tidak menyedarinya. Saya masih menuntut di Universiti Malaya sewaktu peristiwa 13 Mei berlaku. Darurat diisytiharkan dan suasana di seluruh negara menjadi tegang.
Malaysia yang ketika itu masih sebuah negara muda tiba-tiba terasa rapuh. Pengajaran daripada detik itu jelas. Keganasan yang tercetus mendedahkan sesuatu yang lebih mendalam: ketidaksamarataan dan ketidakseimbangan.
Apabila saya menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1971, Tun Razak telah mula mengemudi respons negara. Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan sebagai satu misi nasional untuk merapatkan jurang dan membina perpaduan melalui dua strategi utama: membasmi kemiskinan daripada 49.3 peratus kepada 4 peratus dalam tempoh 20 tahun, serta menyusun semula masyarakat supaya tiada lagi fungsi ekonomi yang terikat kepada kaum. Pada ketika itu, hampir seorang daripada setiap dua rakyat Malaysia hidup dalam kemiskinan. Begitulah besarnya cabaran yang dihadapi.
Saya memulakan kerjaya di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar sebelum menyertai Unit Perancang Ekonomi pada tahun 1974. Ketika itu, satu kajian Bank Dunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian mengenai kemiskinan di Malaysia mengenal pasti tujuh kumpulan utama golongan miskin serta mencadangkan langkah penambahbaikan.
Angkanya menginsafkan, tetapi arah tujunya jelas: di sebalik setiap statistik, ada keluarga dan mata pencarian yang bergantung pada dasar yang membuka peluang sebenar.
Bagi Tun Razak, pembasmian kemiskinan bukan sekadar agenda pembangunan, tetapi tanggungjawab moral. Antara ciri kepimpinan beliau yang paling menonjol ialah kesediaan turun padang, khususnya di luar bandar. Beliau menghadiri mesyuarat kampung, berbual dengan petani dan pekebun kecil tentang tanaman serta kehidupan mereka. Lawatan ini bukan sekadar simbolik; beliau mendengar dengan teliti untuk memahami realiti luarbandar agar dasar kerajaan benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
Daripada pendekatan inilah lahir satu sistem penyampaian pembangunan yang bersifat transformatif. Institusi seperti FELDA, RISDA, FELCRA dan FAMA bersama pihak berkuasa wilayah seperti KEJORA, DARA, KETENGAH dan KESEDAR menjadi instrumen penting pembangunan luar bandar. Melaluinya, peluang ekonomi diperluas dan keluarga luar bandar menikmati peningkatan pendapatan serta pemilikan aset.
Antara semua itu, FELDA terbukti paling transformatif. Bagi ramai belia luar bandar dan mereka yang tidak memiliki tanah, menjadi peneroka membuka peluang kepada pemilikan tanah, kestabilan ekonomi dan maruah hidup. Ia memberi harapan untuk membina masa depan yang bebas daripada kemiskinan.
Tun Razak memahami bahawa pembangunan negara memerlukan tujuan yang jelas, disiplin dan komitmen. Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, kerajaan berperanan sebagai enjin utama pertumbuhan dan agensi kerajaan diharapkan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan. Maklumat yang dibentangkan kepada beliau perlu tepat, segera dan boleh diukur, hampir seperti ketepatan dalam operasi ketenteraan.
Beliau juga memperkenalkan sistem pemantauan yang ketat. Carta kemajuan dikemas kini secara manual, pencapaian dipantau dengan teliti, dan laporan dibentangkan di Bilik Gerakan pada peringkat persekutuan, negeri dan daerah.
Bagi beliau, pentadbiran bukan sekadar urusan kertas kerja. Ia adalah pembangunan. Melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, pemantauan memastikan program pembangunan bukan sekadar diumumkan tetapi sampai kepada rakyat. Penekanan terhadap pemantauan dan pelaksanaan ini kekal menjadi sebahagian daripada budaya pentadbiran kerajaan hingga hari ini.
Komitmen Tun Razak terhadap pembangunan luar bandar begitu mendalam. Beliau memperkenalkan Buku Merah sebagai panduan merancang dan memantau pembangunan ekonomi luar bandar. Bagi beliau, ia bukan sekadar alat pentadbiran tetapi nadi kepada usaha pembangunan.
Sentuhan peribadi beliau sukar dilupakan. Di Kedah, ketika pegawai merancang terusan pengairan bagi menyokong tanaman dua musim, sebuah rumah milik seorang wanita berada di laluan projek itu. Perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat Bilik Gerakan Negara, lalu Tun Razak sendiri terbang ke Kedah untuk bertemu dengannya, mendengar keadaannya dan menerangkan kepentingan projek tersebut. Bagi beliau, pembangunan tidak boleh mengabaikan kehidupan individu yang terlibat.
Beliau menggabungkan ketegasan dengan ihsan. Apabila sesuatu tidak berjalan seperti yang dirancang, pendekatan beliau ialah mencari penyelesaian. Beliau sendiri turun ke lapangan untuk memahami masalah secara langsung. Amalan yang kini kita kenali sebagai turun padang banyak terinspirasi daripada teladan beliau.
Visi beliau juga melangkaui pembangunan dalam negeri. Dalam era Perang Dingin, Tun Razak menunjukkan kebijaksanaan diplomatik yang luar biasa. Pada tahun 1974, Malaysia menjadi negara ASEAN pertama menjalin hubungan diplomatik dengan China. Keputusan itu berani kerana kebimbangan terhadap komunisme masih kuat ketika itu. Namun beliau percaya bahawa keterlibatan adalah lebih bijak daripada pengasingan. Lawatan bersejarah tersebut mempertemukan beliau dengan tokoh seperti Mao Zedong, sekali gus menunjukkan kemampuan beliau merapatkan jurang ideologi.
Beliau juga memperjuangkan konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), dengan gagasan Asia Tenggara yang bebas daripada persaingan kuasa besar luar.
Apabila saya memerhati konflik dunia hari ini khususnya di Timur Tengah, saya sering tertanya-tanya bagaimana Tun Razak mungkin menanganinya. Saya percaya beliau akan menggesa Malaysia memainkan peranan lebih aktif dalam Pertubuhan Kerjasama Islam dengan menggalakkan dialog, kestabilan dan keadilan melalui kepimpinan yang berprinsip.
Tun Razak meninggal dunia pada tahun 1976 ketika saya masih berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi. Usia beliau tidak panjang, namun visi beliau melangkaui zaman.
Dalam tempoh kurang dua dekad, beliau telah meletakkan asas kepada agenda pembangunan dua puluh tahun, memperkukuh institusi yang masih bertahan hingga hari ini dan mengembalikan keyakinan sebuah negara yang pernah meragui masa depannya.
Hari ini nama beliau terpahat pada jalan raya, bangunan dan institusi di seluruh negara.
Namun yang lebih kekal daripada semua penghormatan itu ialah teladan kepimpinan yang ditinggalkan. Beliau menunjukkan bahawa kepimpinan perlu mempunyai jiwa dan menuntut tindakan, pembaharuan memerlukan keberanian dan perpaduan tidak boleh dipaksa tetapi mesti dipupuk.
Di atas segalanya, beliau seorang yang mengambil berat. Setiap dasar, setiap lawatan turun padang dan setiap taklimat hingga lewat malam mencerminkan keyakinan beliau terhadap Malaysia yang lebih adil dan kukuh.
Ketika kita memperingati ulang tahun kelahiran beliau yang ke-104, pengajaran yang ditinggalkan masih sangat relevan: pembinaan negara tidak pernah selesai. Ia menuntut empati, disiplin dalam tadbir urus dan keyakinan untuk berinteraksi dengan dunia.
Banyak telah berubah sejak 1969. Namun tugas kita tetap sama: membina Malaysia yang menjunjung perpaduan, memperluas peluang, melindungi maruah dan memastikan tiada sesiapa yang tercicir.
Itulah misi Tun Razak. Dan ia kekal menjadi misi kita.
* Datuk Rahmah Abu Kassim ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Tun Razak

