
JIKA dahulu matcha atau serbuk teh hijau Jepun hanya popular di kafe tertentu, kini mudah dinikmati dalam pelbagai sajian.
Bermula sekadar minuman dan pencuci mulut, muncul pula nasi lemak, burger, ayam goreng malah ikan keli berperisa matcha.
Fenomena ini menimbulkan persoalan, adakah ia mencerminkan kreativiti kulinari atau sekadar strategi menarik perhatian pengguna media sosial?
Tidak dinafikan, matcha sedang menikmati populariti global. Permintaannya meningkat kerana pengguna mengaitkannya dengan gaya hidup sihat, terutama kandungan antioksidan.
Ledakan media sosial turut mendorong pengeluar tradisional di Jepun memenuhi permintaan pasaran antarabangsa yang semakin tinggi.
Di Malaysia, kuasa visual media sosial memainkan peranan besar dalam menentukan pilihan pengguna. Hidangan yang unik, pelik dan menarik perhatian kamera lebih mudah dikongsi di TikTok atau Instagram. Dalam keadaan ini, warna hijau matcha menjadi aset pemasaran yang mudah mencuri tumpuan.
Namun, sesuatu yang tular tidak semestinya berkualiti. Penggunaan bahan tersebut dalam kek, ais krim atau minuman lazimnya lebih sesuai kerana rasa sedikit pahit dan beraroma dapat mengimbangi kemanisan. Sebaliknya, campuran dengan makanan berempah atau bergoreng perlu mengambil kira keserasian rasa supaya tidak sekadar menjadi gimik.
Pengguna juga perlu berhati-hati dengan tanggapan bahawa semua produk berasaskan matcha lebih sihat. Kandungan gula, garam dan lemak tetap perlu dinilai secara keseluruhan. Minuman manis yang ditambah serbuk teh hijau tidak serta-merta menjadi pilihan rendah kalori.
Demam matcha juga mungkin mengalami nasib sama apabila pengguna mula jemu dengan produk yang muncul tanpa menitikberatkan mutu.
Kreativiti dalam industri makanan sememangnya perlu diraikan tetapi inovasi seharusnya memperkayakan rasa dan pengalaman, bukan sekadar mengejar tontonan. sebagai pengguna. Kita wajar menilai cita rasa, khasiat dan harga sebelum terpengaruh dengan sesuatu yang tular.
Populariti mungkin membawa pelanggan untuk mencuba tetapi kualiti yang membuat mereka kembali. –UTUSAN
DR. ADNIN AFIFI NAWI
Pensyarah, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
The post Apabila matcha jadi gimik appeared first on Utusan Malaysia.
