Apabila Sedekah Menjadi Rasuah

Politics
31 Jan 2023 • 10:30 AM MYT
Akhbar Satar
Akhbar Satar

Pres. ACFE Malaysia Chapter, Ex- Pres. TI-M, Ex - ACA(MACC), Criminologist

image is not available
Sumber: Ustaz Azhar

INGAT bahawa Seksyen 10 (a) Akta Kesalahan Piliharaya (AKP) 1954 mentakrifkan secara terperinci perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya yang dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon itu sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.

Sudah tentu mana mana orang yang juga turut terlibat memberi wang untuk meraih undi calon calon tertentu, salah dari segi undang undang (AKP) 1954 dan boleh disiasat oleh SPRM tambahan lagi transaksi berlaku ketika pilihanraya.

Apatah lagi dikatakan pengundi dipaksa bersumpah dengan nama Allah untuk mengundi seseorang calon. Rakan sedarjah saya sendiri di kampong memberitahu bahaw dia diberi RM200 dan diminta untuk mengundi calon tertentu.

Dalam konteks SPRM, pengertian rasuah adalah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah atau diskaun.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menekankan bahawa rasuah adalah rasuah, tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk menggambarkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan pembelian undi.

Katanya lagi, sama ada ia ‘sedekah’ atau ‘sumbangan’, undang-undang menganggapnya sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi, tidak kira sama ada pengundi memintanya atau tidak. Sesuatu pemberian bagi meraih undi di dalam pilihan raya sebagai sedekah adalah salah dari segi undang undang dan boleh merugikan negara serta masyarakat.

SPRM telah menyiasat apa sahaja bentuk kes rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, bukan hanya tertakluk kepada pemahaman atau intepretasi peribadi.  Setiap kertas siasatan akan diangkat kepada pihak Peguam Negara untuk diteliti sebelum didakwa di mahkamah. Apa apa pun keputusan mutakhir setiap kes perbicaraan akan diputuskan oleh hakim. Kebiasaannya tertuduh yang didakwa oleh SPRM didapati bersalah di mana kadar sabitan melebihi 90 peratus.

Tambahan pula hukumannya juga berat menanti ahli politik atau wakil apabila disabitkan. Mereka boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima ribu ringgit. Kesalahan ini adalah kesalahan boleh tangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.

Rakyat sangat berharap agar PRU-15 tidak melibatkan wang rasuah atau politik wang yang merupakan kegemaraan majoriti ahli politik tempatan untuk memenangi pilihanraya dan berkuasa. Tetapi pada hakikatnya pelaburan yang dilakukan melalui pemberian wang untuk meraih undi pada kebiasaan akan ditebus balik apabila memegang tampuk kekuasaan.

Sepatutnya rasuah politik ini tidak berlaku di negara ini, selain menyalahi undang undang ia juga satu dosa. Rasuah juga tidak adil kerana menyebabkan calon yang layak dan berwibawa diketepikan.

Tanggungjawab membendung rasuah di dalam piliharaya adalah terletak kepada ketua ketua parti yang bertanding. Jika mana mana parti masih memilih untuk memberi wang ringgit kepada penggundi untuk memenangi pilhanraya, maka masalah rasuah politik tidak akan selesai sampai bila bila.

Rasuah lebih melibatkan integriti individu dibandingkan sistem (Individual vs Systemic). Doktrin agama tidak boleh mengekang amalan rasuah seseorang. Integriti adalah sesuatu yang dimiliki atau tidak dimiliki. Tetapi yang memiliki integriti pun belum tentu tidak mengambil rasuah jika sekiranya ketahanan dalaman dipengaruhi oleh kehidupan mewah walaupun melalui pendapatan haram.

Pengundi dan golongan muda mempunyai peluang untuk membuat pembetulan yang diperlukan oleh negara. Juteru mereka tidak boleh menerima wang, tidak boleh membiarkan sistem dan diri rosak kerana terbelenggu serta menggadai maruah dengan sedikit bayaran duit haram tetapi dalam jangka masa panjang ia merosakkan negara dan merumitkan rakyat

Isu rasuah dan penyelewengan masih lagi berleluasa dan sukar dibendung. Terdapat ahli politik yang korup, memperkayakan diri masing masing dan sepatutnya mereka ini menterjemahkan nilai nilai Islam ke dalam kancah politik sebagaimana semestinya. Kita perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan rasuah bukan kerana takut kepada SPRM tetapi kerana takut kepada Tuhan (God-fearing). Malangnya orang yang mendakwa takut kepada Tuhan, masih memperkayakan diri dengan hasil hasil haram.

Selepas pilihan raya negeri, parti yang menang diharap dapat membentuk sebuah kerajaan berintegriti, stabil dan terus bersama-sama rakyat memerangi rasuah, memperbaiki ekonomi, kos sara hidup demi masa depan negara dan generasi akan datang.  

DATUK SRI AKHBAR SATAR [Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM)]


Akhbar Satar adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.