Apakah Fungsi Kenderaan Penuh Antena Di Hadapan Konvoi Kereta Perdana Menteri Ini?

TechnologyDigital
25 Nov 2022 • 11:54 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Dengan pelantikan Perdana Menteri ke-10 Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam, ramai menyedari kehadiran sebuah kenderaan misteri yang dipenuhi antena pada bahagian atap. Timbul banyak persoalan mengenai fungsi kenderaan ini dan apakah teknologi misteri yang digunakan pada kenderaan yang kelihatan seperti seekor landak beroda ini.

image is not available

Kenderaan ini pertama kali dilihat ketika Anwar dalam perjalanan ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah dan kemudian dilihat sekali lagi di hadapan konvoi kenderaan beliau dalam perjalanan pulang selepas usainya majlis. Setiap kali beliau bergerak ke destinasi pasca mengangkat sumpah semalam, kenderaan SUV Volvo XC60 berwarna hitam ini dapat dilihat dengan ketara kerana pada bahagian bumbung terdapat beberapa belas antena hitam panjang, antena berbentuk bulat dan juga sebuah kubah hitam yang besar.

Berdasarkan kajian kami, ini ialah kenderaan anti serangan pengganas yang mempunyai beberapa nama panggilan seperti Roadrunner di kalangan anggota keselamatan rahsia Presiden Amerika Syarikat.

image is not available

Fungsi utama Roadrunner ialah menghalang serangan bom menggunakan alat kawalan jauh atau lebih dikenali sebagai IED. Antenna memanjang di bahagian bumbung berfungsi sebagai alat menghalang frekuensi radio dan selular (signal jammer) yang mungkin digunakan pengganas untuk meletupkan bom. Sebelum digunakan untuk melindungi ketua-ketua negara, teknologi ini telahpun digunakan di Iraq untuk melindungi kenderaan perisai dan anggota infantri di Iraq yang menjadi mangsa letupan IED.

image is not available

Kenderaan berperisai Mine-Resistant Ambush Protected (MRAP) dan HUMMER tentera Amerika Syarikat meletakkan antena anti IED kawalan radio (RCIED) sejak 2018 dan anggota infantri mereka pula menggunakan Joint Counter-Radio-Controlled Improvised Explosive Device Electronic Warfare (JCREW) sejak tahun lalu selepas menjalani ujian lapangan sejak 2017.

image is not available

Sekiranya anda mengikuti siaran langsung konvoi Perdana Menteri dari rumah ke pejabat beliau di Putrajaya pagi ini, anda mungkin menyedari penstriman tergendala selama beberapa saat apabila Roadrunner melintas di hadapan kamera seperti imej di atas. Kami menyedari siaran tergendala berlaku pada ketika penstriman Astro Awani dan Malaysia Gazette.

Maka sebagai kesimpulan sistem menghalang frekuensi radio yang digunakan boleh mengganggu rangkaian selular (menstrim menggunakan telefon) dan satelit (menstrim menggunakan kamera video) yang digunakan media.

image is not available

Gangguan rangkaian radio dan satelit ini hanya merangkumi gelembung yang kecil. Oleh sebab itulah ia diletakkan di hadapan konvoi bagi meneutralkan laluan kenderaan yang membawa Perdana Menteri. Ia juga sebab mengapa tiada gangguan pada siaran lintas langsung dari Istana Negara kerana kedudukan kamera wartawan yang agak jauh dari laluan konvoi.

image is not available

Selain menjadi gelembung anti serangan IED, Roadrunner juga mempunyai fungsi sekunder sebagai kenderaan komunikasi untuk kegunaan Perdana Menteri. Walaupun dalam perjalanan, Perdana Menteri (atau sebarang ketua negara yang menggunakan sistem keselamatan yang sama) masih perlu mempunyai hubungan dengan dunia luar. Mereka masih perlu mempunyai akses kepada telefon, internet dan panggilan video di dalam kenderaan.

image is not available

Oleh itu di atas bumbung juga terdapat sistem yang membolehkan sistem komunikasi terpilih seperti radio dua hala dan telefon pada saluran terpilih digunakan sepanjang perjalanan ke destinasi.

Maka misteri kereta seakan landak di hadapan konvoi Perdana Menteri telah terjawab. Selain Malaysia, kenderaan seperti Roadrunner ini juga digunakan oleh Presiden Amerika Syarikat serta ketua-ketua negara yang lain di dunia.