Apakah Vape dan Kesan Jangka Masa Panjangnya?

Health & Fitness
22 Jul 2022 • 8:00 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Semenjak ramai orang lebih memahami keburukan merokok dan kesannya keatas badan, kebanyakan orang yang dahulunya perokok tegar mulai mengurangkan tabiat merokok mereka. Lebih-lebih lagi apabila kerajaan telah menaikkan harga rokok di pasaran dan mengeluarkan denda kepada perokok-perokok yang merokok di kawasan larangan, lebih ramai yang berhati-hati untuk merokok dan ada juga yang menolak rokok sekaligus. Namun, ada juga di kalangan mereka ini dan di kalangan anak-anak muda yang mulai berpaling kepada menghisap vape pula.

Pertama sekali, tahukah anda apakah vape?

Contoh vape box
Sumber: MadeInChina

Vape adalah sejenis rokok elektronik dimana fungsinya adalah seperti rokok tembakau tradisional yang berada di pasaran cuma ia menggunakan sejenis alat elektronik yang mempunyai beberapa komponen di dalamnya dan akan menghasilkan asap seperti rokok biasa apabila dihisap. Walaupun vape boleh ditemui di pasaran dalam saiz, warna dan nama yang berbeza seperti “e-cig”, “mods”, “e-hookah”, “pod” atau “vape pen”, komponen utama peranti elektronik tersebut dan fungsinya adalah sama.

Komponen utama peranti elektronik vape adalah bateri, atomiser dan katrij.

Kandungan utama vape pula adalah bahan perasa dan pewarna, glycerin dan Propylene glycol (PG). Tahukah anda PG adalah sejenis bahan yang boleh menyebabkan asma, iritasi ke atas mata, tekak dan saluran pernafasan? Apabila PG melalui komponen utama peranti elektronik vape dan cecair vape dipanaskan untuk menghasilkan asap, ia akan menghasilkan bahan yang membebaskan formaldehid. Formaldehid ini pula adalah sejenis bahan yang boleh menyebabkan kanser.

Selain daripada itu, walalupun ramai penjual vape menyatakan bahawa vape adalah lebih baik daripada rokok tradisional kerana ia tidak mempunyai nikotin, terdapat beberapa kajian yang membuktikan sebahagian cecair vape di pasaran mengandungi nikotin. Bukan itu sahaja, ada di antara cecair vape yang diimport dari luar negara juga mempunyai bahan-bahan terlarang lain seperti fromalin, timah, merkuri, timbal dan lain-lain.

Pertama sekali, penjualan vape di Malaysia dan banyak negara-negara lain adalah tidak terkawal. Kandungan cecair vape yang dijual pula tidak melalui proses pemeriksaaan yang terperinci daripada kementerian kesihatan atau badan kawalan yang lain. Maka, pengguna tidak tahu sebanyak mana kandungan peratusan campuran bahan-bahan yang diletakkan di dalam “vape juice” yang mereka beli.

Sumber: CBC Canada

Setakat ini, terdapat beberapa kajian dilakukan yang menunjukkan terdapat peratusan bahan merbahaya atau bahan terlarang di dalam cecair vape yang tidak diketahui oleh pengguna. Sekiranya bahan tersebut diambil (melalui kaedah menghisap) dalam suatu jangka masa panjang, ia semestinya akan menyebabkan sakit kronik yang berpanjangan kepada penggunanya seperti asma, kanser, Pneumothorax (lung collapse), sakit buah pinggang dan macam-macam lagi.

Bukan itu sahaja, malahan asap daripada vape yang mengandungi bahan-bahan terlarang ini juga boleh memberi impak kepada orang sekeliling sebagai perokok sekunder. Kesan ini sama seperti menghidu asap rokok tradisional di pasaran. Maka, tiada bezanya sekiranya seorang perokok tradisional bertukar kepada vape kerana kesannya adalah sama — atau bagi sesetengah orang, lebih teruk — disebabkan kandungan di dalam cecair vape itu yang tidak diketahui ramai.


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.