APHR kecam pengusiran pelarian Rohingya di wilayah Aceh Indonesia

29 Dec 2023 • 5:47 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR) mengecam sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan pelajar universiti di wilayah Aceh, Indonesia yang menyerbu pusat perlindungan sementara pelarian Rohingya.

Pengerusi Bersama APHR Charles Santiago berkata perbuatan kumpulan itu yang menuntut etnik Rohingya diusir dilihat kurang empati atau belas kasihan terhadap sesama manusia yang telah mengalami penderitaan.

“Tiada siapa memilih untuk menjadi pelarian; terpaksa keluar dari rumah hanya untuk menghadapi penganiayaan berterusan di tempat perlindungan,” katanya.

Pada Rabu, ratusan remaja dipercayai pelajar institusi pengajian tinggi bertindak menyerbu ruang bawah tanah sebuah bangunan yang menempatkan pelarian.

Kumpulan perusuh itu merempuh halangan polis dan memaksa 137 pelarian menaiki dua trak dan memindahkan mereka ke lokasi lain di Banda Aceh. Insiden itu telah menyebabkan pelarian terkejut dan trauma.

Charles berterima kasih atas kemurahan hati penduduk Aceh terhadap pelarian Rohingya sebelum ini, namun kesal kurangnya tindakan tegas oleh kerajaan Indonesia dan negara anggota ASEAN yang lain dalam menangani krisis pelarian Rohingya secara lebih meluas.

“ASEAN dan masyarakat antarabangsa telah mengabaikan penderitaan etnik Rohingya terlalu lama,“ kata Charles.

Beliau menyeru usaha sama dalam kalangan negara anggota ASEAN dan negara jiran bagi mewujudkan mekanisme pelbagai hala untuk mengendalikan pelarian Rohingya.

“Troika ASEAN mesti mengutamakan tindakan tegas terhadap junta dan memberikan sokongan penubuhan Myanmar yang demokratik dan inklusif yang menjamin hak sama rata bagi penduduk Rohingya,“ kata Charles.

Beliau menekankan tanggungjawab ASEAN dan masyarakat antarabangsa untuk menangani punca krisis pelarian. -Bernama