API Kami Tidak Sepatutnya Digunakan Untuk Aplikasi Parti Ketiga – CEO Reddit

TechnologyDigital
16 Jun 2023 • 5:35 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Reddit kini sedang berhadapan dengan isu terbesar yang sedang membelenggu platform tersebut – para pengguna yang rata-ratanya menentang keputusan pengurusan syarikat untuk memperkenalkan caj yang tidak masuk akal untuk menggunakan API syarikat tersebut.

Perkara ini khususnya dilihat membelenggu para pembangun aplikasi parti ketiga, termasuklah Apollo Reddit dan Sync yang rata-rata harus menutup pembangunan dan penggunaan aplikasi Reddit mereka kerana pengiraan pembayaran sekitar $20 juta setahun untuk menggunakan API tersebut.

image is not available

Beberapa hari lalu kami telah melaporkan bahawa lebih dari 7000 laman Subreddit telah dikunci sebagai tanda protes terhadap keputusan ini, yang menyebabkan pembangun bot, fungsi dan juga aplikasi terpaksa ditutup kerana tidak mampu membayar jumlah yang diminta untuk pengunaan API ini.

Pengasas Apollo Reddit, Christian Selig mengatakan bahawa dengan caj bayaran terbaru ini, mereka harus membayar Reddit $20 juta setahun untuk membolehkan aplikasi tersebut, dan beberapa yang lain untuk kekal berfungsi.

CEO Reddit, Steve Huffman mengatakan bahawa dia tidak akan mengubah keputusan Reddit untuk memperkenalkan bayaran baru ini, kerana pada pendapatnya, pembangun aplikasi parti ketiga ini mengaut keuntungan atas angin melalui jualan aplikasi Reddit parti ketiga.

Huffman juga mengatakan bahawa API Reddit dibangunkan untuk membangunkan fungsi seperti bot, ciri-ciri baru dan penambahbaikan kepada aplikasi dan laman web Reddit sedia ada. Penggunaan API ini oleh parti ketiga dikatakan adalah satu kesilapan olehnya, kerana syarikat-syarikat media sosial lain seperti Twitter dan Facebook dilihat telah mengharamkan pembangunan aplikasi parti ketiga.

image is not available

Pada pendapat beliau pada waktu tersebut, pembangun-pembangun ini patut dibenarkan membangunkan aplikasi parti ketiga yang memberi nilai tambahan kepada platform yang dibangunkan. Tetapi mungkin oleh kerana pihak Reddit merasakan mereka tidak mendapat pendapatan yang setimpal, mereka mahu mula mengecas penggunaan API ini.

Buat masa ini, sekitar 5000 laman Subreddit ini masih lagi dikunci, yang dilihat menurun berbanding lebih 8000 Subreddit yang dikunci beberapa hari lalu. Huffman juga mengatakan bahawa laman-laman yang masih dikunci ini akan dibuka dan mereka hanya perlu menunggu sahaja.