
KUALA LUMPUR - Aplikasi BolehJe yang dibangunkan baru-baru ini oleh Exalumen Technologies diyakini mampu membantu golongan belia, pelajar dan pekerja bebas memperoleh pekerjaan untuk jangka pendek.

Ketua Pegawai Eksekutif Exalumen Technologies, Angeline Barron berkata, aplikasi berkenaan yang turut mendapat kerjasama Innovestmy Sdn Bhd membolehkan pengguna menjana pendapatan tambahan secara fleksibel.
Menurut beliau, ia turut membuka ruang untuk syarikat atau individu yang memerlukan khidmat tenaga kerja, mengakses bakat tempatan dengan lebih mudah.
“Aplikasi ini bukan sahaja menjadi medium untuk memperkasa ekonomi belia, malah berperanan sebagai jambatan antara majikan dan tenaga kerja dalam era ekonomi digital.
“Usaha ini seiring dengan misi Innovest dan Exalumen memperkukuh daya saing masyarakat serta menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif di Malaysia,” katanya kepada Getaran ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Angeline mewakili Exalumen bersama wakil Innovest, Lee Miew Lan menganjurkan program komuniti, melibatkan 30 penghuni Lotus Charity Care Centre.
Menerusi program yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia itu, kesemua penghuni rumah kebajikan berkenaan dibawa menonton filem di pawagam GSC di pusat beli belah IOI City, Putrajaya.
Miew Lan ketika ditemui berkata, program terbabit membolehkan semangat Keluarga Malaysia diperkukuh, sekali gus memupuk keprihatinan masyarakat dan nilai kebersamaan.
“Kami amat berharap usaha kecil ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak sektor korporat untuk berganding bahu dalam menyebarkan kebaikan kepada masyarakat.
“Inisiatif ini memberikan peluang untuk anak-anak ini merasai pengalaman hiburan yang jarang-jarang mereka nikmati, sekali gus mengukuhkan semangat prihatin serta kepedulian sosial dalam kalangan syarikat korporat,” katanya.

Jelas Miew Lan, Hari Malaysia bukan sekadar satu perayaan, sebaliknya ia adalah lambang kepada kekuatan dan keindahan sebuah negara yang dibina atas dasar kesepaduan.
“Kami di Innovest percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak diraikan dan diberi peluang untuk bergembira, tanpa mengira latar belakang mereka.
“Kehadiran mereka pada hari ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif sosial,” katanya. - Getaran, 22 September 2025
