Google Home adalah aplikasi untuk mengawal peranti Internet benda dengan akaun Google atau yang telah dipadankan dengan Google Assistant. Aplikasi ini turut menyokong produk dengan piawaian Matter. Sejak ke belakangan ini, Google rajin mengemaskini aplikasi Home bagi membawakan pengalaman penggunaan terbaik. Terbaru, sokongan widget pula telah diperkenalkan.

Widget Google Home untuk peranti Android ini memfokuskan kepada peranti Internet benda yang ditetapkan sebagai peranti kegemaran untuk kawalan lebih mudah dan pantas. Widget baharu ini membenarkan pengguna terus mengawal peranti Internet benda pada skrin utama telefon tanpa membuka aplikasi Google Home. Tiles untuk jam Wear OS 3 dan ke atas dengan fungsi sama turut akan diberikan kepada pengguna.

Bagi yang menggunakan Google Home di rumah atau pejabat anda kini sudah ada kawalan alternatif yang lebih pantas. Sebelum ini, kaedah lain adalah dengan menggunakan peranti Android moden kerana versi Android baharu menyertakan kawalan peranti Internet benda terus dari talam notifikasi.

