
Pembangunan aplikasi yang membolehkan pengguna akses pelbagai maklumat melalui peranti memainkan peranan dalam mempermudah kehidupan seharian masa kini.
Kemudahan ini tidak terkecuali bagi pemilik haiwan peliharaan memperoleh panduan-panduan menarik termasuk penjagaan, kesihatan, pengurusan masa malah apabila berdepan kecemasan.
Kali ini, Sinar Bestari kongsikan empat aplikasi menarik haiwan peliharaan yang dapat mempermudahkan pembaca memelihara haiwan kesayangan.

Pet First Aid
Aplikasi yang dibangunkan Palang Merah Amerika ini amat berguna bagi pemilik haiwan peliharaan kerana ia menyediakan pelbagai panduan kecemasan di hujung jari.
Melalui aplikasi tersebut, ia menyediakan langkah-langkah yang perlu diambil dalam situasi kecemasan seperti jika haiwan peliharaan diserang atau termakan sesuatu yang beracun.
Selain itu, ia turut didatangkan dengan panduan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan maklumat awal kecemasan untuk melindungi haiwan peliharaan anda.

11pets
Bagi mereka yang mementingkan pengurusan masa dengan berkesan, aplikasi 11pets merangkumi pelbagai keperluan haiwan peliharaan anda.
Ia termasuk menyimpan sejarah perubatan, jadual vaksinasi, lawatan klinik veterinar, pemakanan malah mampu memantau berat haiwan kesayangan.
Aplikasi tersebut boleh diakses melalui pelbagai peranti sekali gus memberi peluang kepada ahli keluarga lain memantau perkembangan haiwan peliharaan.

Pet Monitor VIGI
Aplikasi yang dapat membantu pemilik memantau haiwan peliharaan di rumah terutama anjing dengan memperoleh pemberitahuan melalui isyarat bunyi dan gerakan.
Jika terlalu rindu, pemilik haiwan boleh menonton video secara langsung malah ‘berinteraksi’ dengan haiwan kesayangan pada jarak jauh.
Pengguna aplikasi Pet Monitor VIGI juga dapat merakam video dan imej pegun haiwan peliharaan untuk dikongsi bersama ahli keluarga.

Cat training
Pemilik kucing pasti menyukai aplikasi ini kerana sarat dengan maklumat untuk membantu memahami tingkah laku haiwan kesayangan tersebut.
Ia merangkumi penjagaan kucing termasuk latihan membuang air, dandanan, memanggil kucing, melatih menggaru pada lokasi yang diinginkan dan banyak lagi.
Artikel berkaitan
The post Aplikasi haiwan peliharaan, akses tanpa sempadan appeared first on Sinar Bestari.


