Aplikasi Navigasi Waymap Untuk OKU Penglihatan Tidak Memerlukan GPS Atau Internet Untuk Berfungsi

TechnologyDigital
20 Jun 2022 • 11:05 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Terdapat beberapa aplikasi navigasi dan tongkat pintar yang direka untuk digunakan oleh golongan OKU penglihatan. Tetapi kesemuanya bergantung kepada sambungan GPS dan internet untuk beroperasi. Maka oleh sebab itu aplikasi Waymap telah dibangunkan oleh sebuah firma di UK dengan ia boleh beroperasi secara kendiri.

Sebaliknya Waymap bergantung kepada sensor pada telefon pintar untuk memberikan panduan navigasi yang tepat. Sensor barometer, accelerometer dan magnetometer peranti menjadi asas kepada sistem navigasi berasaskan inersia. Ini adalah sistem yang selama ini digunakan oleh peluru berpandu dan pesawat sebelum GPS digunakan secara meluas.

image is not available

Menurut pembangun Waymap, sistem mereka ini mempunyai ketepatan sehingga 1 meter dan memberikan arahan navigasi menggunakan arahan suara yang dapat membantu OKU penglihatan. Walaupun direka untuk OKU, ia juga boleh digunakan orang ramai kerana sistem navigasi inersia mereka memberikan navigasi yang tepat di dalam bangunan yang biasanya sukar pada aplikasi yang bergantung kepada satelit GPS.

Waymap telah berjaya diuji oleh golongan OKU penglihatan di sistem kereta api bawah tanah di Washington DC. Aplikasi juga boleh digunakan percuma dengan data pengguna tidak akan disimpan bagi memastikan privasi. Pada waktu ini Waymap hanya boleh digunakan di Washington DC sahaja terlebih dahulu sebelum lebih banyak bandar dan peta ditambah.