Aplikasi Xbox Dikemaskini Untuk Lebih Mesra Konsol Mudah Alih

TechnologyGamingDigital
9 May 2024 • 12:43 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ledakan populariti konsol mudah alih seperti ROG Ally, Legion Go dan MSI Claw yang baru sahaja kami ulas semalam hadir dengan kelebihan serta kekurangannya yang tersendiri. Antara kekurangan paling ketara pada semua konsol mudah alih ialah antaramuka yang tidak mesra kawalan menggunakan kayu analog dan butang arah kerana aplikasi dibangunkan untuk digunakan dengan tetikus.

image is not available

Aplikasi Xbox kini sedang dikemaskini untuk menyelesaikan isu yang amat menyakitkan hati ini. Ia kelak akan mempunyai ciri Jump Back In yang membolehkan pemain terus menyambung bermain sehingga 9 permainan terakhir yang dilancarkan. Jika dijeda, permainan akan disambung terus pada saat akhir ia dijeda. Ini adalah ciri yang standard pada Xbox dan PlayStation.

image is not available

Panel Friends juga lebih mudah diakses menggunakan alat kawalan tanpa pengguna menyentuh skrin. Dengan ini untuk melihat senarai rakan yang sedang bermain adalah sama mudah seperti mengakses panel notifikasi.

Kesemua penambahbaikan ini dilakukan untuk memperbaiki Compact Mode yang diperkenalkan aplikasi Xbox sebelum ini. Namun begitu kedua-dua ciri ini masih dalam peringkat ujian dan hanya boleh dicuba pengguna Xbox Insider Hub. Maklum balas sedang dikumpul sebelum ciri diberikan kepada semua pengguna.