Jika anda seorang gamer PC yang tegar, salah satu isu yang pastinya membelenggu anda ialah keperluan untuk memuat-turun dan mendaftar untuk akaun-akaun pelbagai gedung pembelian permainan digital yang ada sekarang, termasuklah Steam, Epic Games Store dan lain-lain.

Terkini, Microsoft telah mengemaskini aplikasi Xbox untuk membolehkannya menyenaraikan pelbagai permainan yang sudahpun anda miliki daripada platform-platform pembelian lain juga, termasuklah Battle.net, Steam dan juga Epic Games Store.

Setelah anda mengemaskini aplikasi Xbox pada PC anda, dan anda sudah log masuk kedalam akaun-akaun Steam, Epic dan Battle.net, permainan-permainan yang sudahpun dipasang pada komputer anda akan tersenarai di tab My Library dengan serta-merta.

Anda akan perlu memastikan bahawa anda sudahpun melog masuk kedalam akaun-akaun Steam, Epic dan Battle.net terlebih dahulu sebelum permainan-permainan tersenarai. Untuk tujuan pengesahan DRM, akaun-akaun ini juga akan perlu aktif di latar belakang sebelum ia boleh dimainkan.
Anda boleh mengemaskini aplikasi Xbox anda hari ini untuk menggunakan ciri ini.

