APM dapat 4WD, ambulans untuk perkasa ops kecemasan

2 Mar 2023 • 5:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

BAGI memperkasakan operasi kecemasan khususnya di kawasan luar bandar, Angkatan Pertahanan Awam (APM) memperoleh 100 unit ambulans pacuan empat roda (4WD) yang akan diterima secara berperingkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata pengambilalihan itu dibuat dalam empat fasa bermula Julai tahun lepas.

“Fasa pertama sebanyak 30 unit akan diserahkan kepada APM di Sabah, Sarawak, Kedah, Perak dan Pahang. Daripada jumlah itu, lapan unit, khusus untuk APM Sabah, akan diserahkan selewat-lewatnya pada suku kedua 2023.

“Jumlah keseluruhan yang akan diterima oleh Sabah dan Sarawak ialah 15 unit masing-masing, dan 70 unit akan diagihkan ke semua negeri di semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah APM Sabah yang membabitkan sejumlah 204 penerima di Kota Kinabalu pada 19 Feb.

Armizan berkata, perolehan ambulans pacuan empat roda itu dapat memudahkan pergerakan anggota penyelamat ke lokasi bencana terutamanya di kawasan yang mempunyai struktur muka bumi dan fizikal jalan tidak sempurna seperti yang terdapat di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata bagi memperkasakan peranan dan fungsi APM, latihan dan melengkapkan masyarakat dengan ilmu pertahanan awam perlu menjadi fokus utama.

“Sehubungan itu, Unit Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) ditubuhkan dan orang ramai yang menyertai ASPA akan diberi latihan sehingga memperoleh sijil dan nombor keahlian.

“Latihan yang dianjurkan merangkumi asas pertahanan awam termasuk kemahiran pengurusan bencana.

“Matlamat APM adalah untuk mencapai sasaran 10 peratus rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan asas pertahanan awam seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa (ICDO).

Justeru itu, APM mempergiatkan pelbagai program dan aktiviti untuk menarik masyarakat menyertai ASPA, katanya.

Beliau berkata setakat bulan lepas, seramai 1,972,077 anggota ASPA menerima latihan di seluruh negara, dan di Sabah, jumlah ASPA yang dilatih ialah 196,651.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.