APMM gagalkan cubaan seludup rokok di Tumpat

14 Feb 2023 • 7:34 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk hampir 410,000 batang rokok putih bernilai lebih RM400,000 di Tumpat, Ahad lepas.

Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata ia hasil kejayaan selepas bot peronda APMM mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak perlahan memasuki perairan muara Tumpat pada 3.45 pagi.

“Pihak kami kemudiannya mengekori bot pancung berkenaan sehingga berdekatan galeri Tengku Anis di Pengkalan Kubor bagi memerhatikan kegiatan bot tersebut dan mendapati bot itu sedang memindahkan bungkusan plastik hitam ke tebing sungai.

“Suspek bagaimanapun telah memasuki sempadan Thailand selepas bot peronda kami mengejar bot pancung mereka,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.

Syed Nor Adli berkata pemeriksaan lanjut di lokasi suspek memindahkan bungkusan itu menemukan 41 bungkusan plastik hitam mengandungi rokok putih disyaki tidak bercukai diseludup dari negara jiran.

Beliau berkata kes disiasat lanjut mengikut Akta Kastam 1967. -Bernama