
ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup masuk 312 bungkusan plastik disyaki mengandungi benih udang hidup di jeti persendirian Kampung Kuala Sanglang di Jerlun, pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata berdasarkan hasil maklumat risikan, pihaknya telah mengesan aktiviti pemunggahan bungkusan plastik yang mencurigakan di jeti berkenaan kira-kira 3 pagi.
Beliau berkata sebuah bot peronda sedang melakukan tugasan rondaan pemantauan menerusi Op Aman diarahkan ke lokasi untuk melakukan serbuan.
“Setibanya di lokasi, anggota terlibat mendapati jeti terbabit kosong dan terdapat 312 bungkusan plastik disyaki mengandungi benih udang hidup telah ditinggalkan. Kesemua benih udang hidup itu dipercayai cuba diseludup masuk dari Thailand ke negara ini.
“Bungkusan plastik berisi benih udang hidup yang dianggarkan bernilai lebih RM31,000 dirampas dan dibawa ke jeti Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Noor Azreyanti berkata kes disiasat mengikut Seksyen 40 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengimport ke dalam atau mengeksport ke luar Malaysia, ikan hidup tanpa permit atau dengan melanggar apa-apa syarat dalam permit.
Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. -Bernama
